AM

Inisiatif pendidikan 'Belajar Dari Rumah' Yayasan YTL masih tersedia hingga September ini

20/05/2022 02:07 AM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Inisiatif Pendidikan ‘Belajar Dari Rumah’ yang diterajui Yayasan YTL masih lagi tersedia kepada pelajar sekolah, penuntut universiti dan warga pendidik walaupun negara sudah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Pengarah Perniagaan YTL Communications Sdn Bhd (YES) Shahirul Amran berkata program itu pada asalnya dijadual tamat pada penghujung 2020 namun Yayasan YTL bersetuju melanjutkannya hingga September ini untuk golongan terbabit mendapatkan kad sim serta data 7GB percuma setiap bulan.

“Pada asalnya, kami merancang untuk membantu murid dan guru sekolah sahaja namun apabila pihak institut pengajian tinggi (IPT) mendengar terdapat program sedemikian, mereka bersetuju agar kami dapat menawar dan memanjangkan faedah program ini kepada pelajar IPT juga.

“… untuk IPT yang terlibat, (program itu) bukan sahaja untuk mahasiswa tetapi juga kakitangan akademik,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan topik Inisiatif Pendidikan ‘Belajar Dari Rumah’ malam ini.

Beliau berkata untuk proses permohonan dan pendaftaran program itu, pelajar serta pendidik hanya perlu melayari laman sesawang ytlfoundation.org serta memasukkan maklumat yang diperlukan sebelum pihak Yayasan YTL menelitinya dan menggunakan khidmat kurier bagi penghantaran kad sim secara percuma.

“Penghantaran hanya mengambil masa sehari bagi kawasan bandar utama di Semenanjung Malaysia manakala kawasan luar bandar mengambil masa antara tiga hingga lima hari. Bagi Sabah dan Sarawak, penghantaran mengambil masa kira-kira lima hingga tujuh hari,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan