BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
EKONOMI

Serba Dinamik, anak syarikat kenal pasti aset untuk dijual selesaikan liabiliti

18/05/2022 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Serba Dinamik Holdings Bhd dan anak-anak syarikatnya telah mengenal pasti beberapa aset untuk dijual segera bagi menjana aliran tunai yang diperlukan untuk menyelesaikan liabiliti syarikat.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, syarikat itu menjelaskan ia akan memerlukan mesyuarat yang diarahkan mahkamah dengan pemiutangnya.

Mesyuarat itu diadakan bagi mempertimbangkan dan jika didapati sesuai, meluluskan skim pengaturan untuk dicadangkan antara syarikat dan pemiutangnya bagi menstrukturkan semula obligasi hutang syarikat dan anak-anak syarikat, menurutnya.

“Lembaga pengarah syarikat berpandangan permohonan skim itu adalah demi kepentingan Serba Dinamik dan pemiutangnya memandangkan skim pengaturan yang dicadangkan itu mengusulkan pulangan 100 peratus kepada pemiutang syarikat.

Pendengaran bagi permohonan skim itu telah ditetapkan pada 19 Mei, 2022.

Syarikat akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan penting mengenai perkara tersebut.

Menurut syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu, sejak Mei 2022 ia telah menghadapi beberapa peristiwa yang menjejaskan aliran tunai Serba Dinamik Group ekoran persekitaran pandemik COVID-19 yang amat melambatkan tempoh pembayaran oleh pelanggan serta kemajuan projek-projek yang dijalankan oleh Serba Dinamik Group.

Ini telah menyebabkan paras inventori tinggi dan kelambatan penukaran inventori kepada tunai dan setara tunai, mengakibatkan kutipan menjadi perlahan, tambahnya.

Pada 13 Mei, 2022 syarikat perkhidmatan kejuruteraan ini telah memfailkan permohonan mengikut Seksyen 366 Akta Syarikat 2016 untuk mendapatkan kebenaran bagi mengadakan mesyuarat yang diarahkan mahkamah dengan pemiutang dan untuk perintah sekatan diberikan ke atas anak-anak syarikat Serba Dinamik.

Datuk Abdul Kadier Sahib, sebagai pemegang saham syarikat, telah memfailkan permohonan yang sama mengikut Seksyen 366 Akta Syarikat 2016 untuk mendapatkan kebenaran untuk syarikat itu mengadakan mesyuarat diarahkan mahkamah dengan pemiutangnya secara kolektif.

Pada penutupan dagangan Bursa Malaysia hari ini, harga saham Serba Dinamik susut setengah sen kepada 16 sen dengan 215.78 juta saham bertukar tangan.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan