SHAH ALAM, 18 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memelihara 34.5 hektar kawasan hutan yang dimiliki oleh perbadanan tersebut di Hutan Komuniti Shah Alam (SACF).
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata MoU tersebut antaranya melibatkan proses pemeliharaan SACF di Bandar Sierra Alam yang menempatkan Hutan Komuniti PKNS, secara fizikal bermula awal tahun hadapan dengan perancangannya mengekalkan kawasan hutan tersebut sebagai ‘paru-paru hijau’ di Selangor.
"SACF merupakan pusat tumpuan pencinta alam sekitar yang digemari oleh semua peringkat umur. Menyedari kepelbagaian khazanah semula jadi ini dan peranannya dalam mengurangkan kemungkinan berlaku perubahan iklim, kami terpanggil untuk terus memelihara dan memulihara keindahan khazanah ini.
“Kami teruja untuk memulakan kerjasama ini bersama UiTM dan berharap dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan industri untuk turut sama mengambil bahagian dalam kolaborasi yang serupa bagi mencari penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat secara amnya," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian berkenaan di sini hari ini.
Mahmud berkata antara persetujuan yang dimeterai oleh PKNS dan UiTM dalam perjanjian tersebut adalah kedua-dua pihak akan menggunakan pendekatan ‘other effective area-based conservation measures’ (OECM) ke kawasan hutan komuniti yang ditetapkan di bawah jagaan mereka.
“Dalam mencapai matlamat ini, gandingan pasukan petugas yang terdiri daripada wakil PKNS dan pelbagai pakar daripada UiTM akan dibentuk untuk mengemukakan permohonan kepada Perkongsian Penyelidikan Hutan Tropika Asia Tenggara (SEARRP) bagi mengkategorikan Hutan Komuniti PKNS sebagai OECM.
“SEARPP ialah sebuah organisasi yang mengendalikan penyelidikan saintifik bertaraf dunia dalam menangani isu-isu perdana melibatkan alam sekitar. Pengiktirafan ini (sebagai OECM) amat signifikan dalam meningkatkan sokongan untuk pemuliharaan jangka panjang yang berkesan di Hutan Komuniti PKNS,” katanya.
Mahmud berkata Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) mendefinisikan OECM secara geografinya sebagai kawasan yang ditadbir dan diurus dengan cara yang mencapai hasil jangka panjang yang positif dan berterusan, selain menjadi kawasan perlindungan.
Beliau berkata di samping itu, PKNS akan bertanggungjawab untuk menerapkan sebahagian daripada Hutan Komuniti PKNS sebagai ‘makmal hidup’ bagi memajukan projek penyelidikan oleh pensyarah dan pelajar UiTM, di samping membantu dari segi penempatan dan pengurusan peluang latihan industri untuk para pelajar universiti itu.
“Di pihak UiTM pula, mereka akan menyediakan tenaga penyelidikan dan perundingan yang berkaitan dengan pengurusan bandar dan kemudahan, sosioekonomi bandar, pelancongan dan rekreasi serta bidang lain yang berkaitan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata UiTM juga akan membantu PKNS dalam pengurusan dan pembangunan lestari bagi kawasan Hutan Komuniti PKNS serta latihan perkhidmatan untuk meningkatkan kemahiran warga kerja PKNS.
Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian itu dimeterai oleh Mahmud dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat dan Keusahawanan) Suhaimi Kasdon mewakili PKNS dan manakala UiTM diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Suzana Sulaiman dan Dekan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Prof Dr Jamalunlaili Abdullah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial