KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Koperasi Peserta-peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Siab Development Sdn Bhd bagi cadangan pembangunan tanah di Sungai Tua, Selayang, Selangor dengan jumlah nilai anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM389 juta.
Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran berkata projek perumahan KPFB PR1MA dan KPFB Residensi itu melibatkan tanah milik KPFB berkeluasan 7.9 ekar.
“Kakitangan FELCRA Bhd dan golongan B40 akan diberi keutamaan untuk membeli rumah tersebut. Projek ini disokong oleh FELCRA dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“FELCRA dan SKM sentiasa menggalakkan koperasi melabur dalam bidang hartanah kerana ia terbukti menguntungkan dan menjanjikan pulangan yang lumayan,” katanya pada majlis menandatangan MoU dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, di sini hari ini.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Siab Holdings Bhd, Meryl Lim dan Pengerusi KPFB Datuk Sabari Misran yang disaksikan Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Sabari berkata beberapa koperasi yang mempunyai ahli yang ramai turut dilantik sebagai ejen mereka iaitu Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS), Koperasi Kakitangan FELCRA Malaysia Berhad (KKF) dan Koperasi Hartanah Angguna Berhad (KOHAB).
Projek perumahan itu mengambil masa selama tiga tahun dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.
KPFB dijangka memperoleh keuntungan sebanyak 13 peratus GDV iaitu bersamaan dengan RM50 juta menerusi pemeteraian MoU tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial