PUTRAJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan sejumlah 340 kes melibatkan aktiviti jenayah maritim dari Januari hingga April lepas.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata ia merangkumi jenayah penyeludupan dadah, ketum, barang kawalan bersubsidi, pendatang asing tanpa izin dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.
Beliau berkata nelayan asing yang kebiasaannya menceroboh perairan Kelantan dan Terengganu juga dilihat semakin berani “turun” hingga ke Pulau Tioman kerana mereka mahir tentang laluan perairan negara, malah dipercayai wujud sindiket melibatkan tekong darat warga tempatan.
Katanya kerjasama pelbagai agensi seperti dalam Op Benteng ketika negara dilanda pandemik COVID-19, perlu diperluaskan dalam aspek perkongsian maklumat dan penambahbaikan teknologi bagi membolehkan setiap agensi mempertingkatkan perancangan serta keupayaan masing-masing.
"Kita melihat perlunya persefahaman, kesepakatan serta kolaborasi antara agensi terlibat dalam aspek penguatkuasaan dan perundangan Akta Maritim.
“Ini bagi mewujudkan keseragaman pelaksanaan secara kolektif, sekali gus mengatasi 'grey area' yang membabitkan keselarasan penguatkuasaan serta pertindihan kuasa," katanya kepada media selepas melancarkan Seminar Penguatkuasaan Maritim di sini, hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial