AM

Raja Perlis berkenan lancar Garis Panduan Lagu Rasmi Negeri

16/05/2022 07:04 PM

KANGAR, 16 Mei (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Garis Panduan Tatacara Memainkan dan Menyanyikan Lagu Rasmi Negeri Perlis ‘Aamiin-aamiin’ berkuat kuasa hari ini.

Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) menerusi edaran panduan tersebut menyebut tatacara berkenaan mengandungi tiga perkara yang perlu dilaksanakan ketika menyanyi dan mendengar Lagu Rasmi Negeri Perlis.

“Tatacara tersebut adalah berdiri dalam keadaan sedia, kepala menunduk sedikit dan tidak mendongak ke atas bagi menunjukkan sikap merendah diri.

“Tangan kanan diletakkan di atas tangan kanan kiri (bersedekap) serta diletakkan di hadapan bahagian bawah,” katanya menerusi edaran pada majlis berkenaan yang berlangsung di Dewan Auditorium Dr Syed Mahmood Jabatan Kesihatan Negeri Perlis hari ini.

Berangkat sama pada majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Hadir sama pada majlis tersebut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Sementara itu Syed Daniel berkata tatacara bagi menyanyikan lagu rasmi sesebuah negara atau negeri adalah bagi menggambarkan identiti masing-masing kepada orang ramai.

Beliau berkata setiap negeri atau negara mempunyai tiga jati diri yang lazim iaitu bendera, jata dan lagu negeri.

"Enakmen Lagu Negeri Perlis 2021 telah mula berkuat kuasa pada 1 Jan lalu selepas mendapat perkenan oleh Raja Perlis dan ia seharusnya dilaksanakan oleh semua pihak selepas ini," katanya.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail berkata sebagai anak jati Perlis beliau berasa bangga dapat turut sama menyumbang bagi mengolah semula gubahan muzik pada bahagian permulaan lagu tersebut.

“Saya telah mendapat titah daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin untuk mengubah semula lagu Aamiin-aamiin kerana ia telah sekian lama tidak diubah dan juga lirik pada lagu ‘Robbal’ kepada ‘Rabbil’,” katanya.

“Saya telah mempersembahkan beberapa versi gubahan kepada Raja Muda Perlis dan akhirnya satu versi telah dipilih dan mendapat perkenan Raja Perlis sendiri,” katanya yang mengambil masa dua minggu untuk hasilkan versi baharu itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan