KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Industri budaya dan kreatif Malaysia mencatatkan prestasi kukuh apabila menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang julung kali diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan industri itu terus berkembang kepada RM130.7 bilion atau 7.1 peratus berbanding 4.5 peratus pada 2023.
“Penerbitan julung kali itu ialah inisiatif yang dilaksanakan oleh DOSM untuk menyediakan statistik terperinci bagi menjelaskan impak aktiviti budaya dan kreatif terhadap ekonomi Malaysia.
“Secara khususnya, statistik itu memberikan anggaran sumbangan industri budaya dan kreatif kepada KDNK, eksport, import dan guna tenaga dalam industri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata industri budaya dan kreatif terdiri daripada domain teras dan transversal, dengan domain teras merupakan kumpulan aktiviti ekonomi dan sosial yang secara tradisi dikaitkan dengan budaya, manakala domain transversal menyokong domain teras.
Mohd Uzir berkata domain teras naik 7.8 peratus pada 2024 berbanding tujuh peratus pada tahun sebelumnya, dipacu oleh reka bentuk dan perkhidmatan kreatif, yang disokong oleh pertumbuhan perkhidmatan kejuruteraan, arkitek dan pengiklanan, selain buku dan media cetak serta audiovisual.
Beliau berkata dalam tempoh sama, domain transversal meningkat sebanyak 6.6 peratus berbanding 3.1 peratus pada 2023, didorong oleh peralatan dan peranti pelbagai guna dengan pertumbuhan 8.4 peratus, pendidikan budaya (8.1 peratus) dan festival (15 peratus).
Dari segi perdagangan antarabangsa, Mohd Uzir berkata eksport produk kreatif memulih kepada 12.4 peratus (RM63 bilion) pada 2024, berbanding penurunan 1.1 peratus pada tahun sebelumnya.
“Import produk kreatif pula terus mencatatkan pertumbuhan dua angka, iaitu 15.8 peratus (RM43.9 bilion) berbanding 22.3 peratus pada 2023,” katanya.
Beliau berkata guna tenaga dalam industri budaya dan kreatif turut berkembang 2.8 peratus, mencecah 763,100 orang pada 2024, sekali gus menyumbang 4.7 peratus kepada keseluruhan guna tenaga negara.
Mohd Uzir berkata penyusunan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif itu selari dengan rangka kerja System of National Accounts 2008 dan UNESCO Framework for Cultural Statistics 2025, yang turut dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Australia, selain beberapa negara ASEAN, iaitu Filipina, Thailand dan Indonesia.
Dalam perkembangan berkaitan, DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, bagi memperkukuh kerjasama statistik serantau.
Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan apabila buat julung-julung kalinya menduduki tempat pertama mengatasi 197 negara lain dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak dari kedudukan ke-67 dalam penilaian 2022/23.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial