BERITA COVID–19   Hampir 13.2 juta kanak-kanak di AS dijangkiti COVID-19 | Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1  | 30 peratus kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19 | Kes baharu COVID-19 meningkat 119 peratus minggu lepas - KP Kesihatan | Singapura lapor 3 kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5 | 
SUKAN

Olahraga 'penyelamat' kontinjen negara pada hari ketujuh Sukan SEA Hanoi

15/05/2022 02:20 AM

HANOI, 14 Mei (Bernama) -- Acara olahraga yang membuka tirai hari ini menjadi ‘penyelamat’ kepada pemburuan pingat emas kontinjen negara pada Sukan SEA ke-31 yang memasuki hari ketujuh.

Atlet baling tukul besi lelaki dan wanita negara Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei masing-masing menampilkan aksi cemerlang untuk menyumbangkan pingat emas ke-12 dan 13 Malaysia.

Beberapa acara yang sebelum ini diletakkan harapan dapat menuai atau mencipta kejutan meraih kilauan emas bagaimanapun gagal meneruskan momentum kemenangan mereka sekali gus menyaksikan kontinjen negara turun dua anak tangga dalam carta kedudukan keseluruhan.

Dalam pada itu, pencapaian Iskandar Alwi memenangi pingat gangsa acara lompat galah buat kali keempat pada temasya Sukan SEA melegakan kem olahraga pada hari pertama selepas beberapa atlet yang diletakkan harapan meraih pingat gagal menepati sasaran.

Di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi, skuad bina badan negara terus menampilkan aksi terpuji apabila menyumbang dua pingat perak dan dua gangsa.

Buda Anchah dan Zmarul Adam Pulutan Abdullah masing-masing meraih perak manakala dua gangsa menerusi Zainal Arif Zainal Ariffin dan Muhammad Uzair Mat Noor.

Atlet lawan pedang negara Joshua Koh I-Jie turut tersenarai sebagai penyumbang pingat untuk kontinjen negara apabila memenangi gangsa dalam acara epee individu lelaki hari ini.

Acara wusyu yang membuat kejutan meraih dua pingat emas semalam, gagal menghadirkan kilauan emas hari ini apabila sekadar meraih satu gangsa menerusi Sydney Chin Sy Xuan dalam acara Taijiquan Wanita.

Sementara itu, Muhammad Khairi Adib Azhar memastikan sekurang-kurangnya pingat perak buat kem silat tanding negara apabila mara ke pentas akhir kelas B Lelaki (50-55 kg).

Skuad silat negara juga berpeluang menambah sekurang-kurangnya koleksi pingat perak selepas tujuh pesilat negara bakal bertarung di peringkat separuh akhir esok. 

Saingan final akan berlangsung pada Isnin. Peserta yang tewas di peringkat separuh akhir secara automatik memperoleh pingat gangsa.

Pencapaian Malaysia memenangi dua pingat emas, dua perak dan lima gangsa hari ini menyaksikan kontinjen negara turun daripada tempat kedua kepada kedudukan keempat dengan pungutan keseluruhan 13 emas, tujuh perak dan 21 gangsa.

Tuan rumah, yang memintas Malaysia di kedudukan teratas pada Rabu lepas, kekal mendahului carta dengan 36 pingat emas, 28 perak dan 27 gangsa meninggalkan Thailand di tempat kedua hasil kejayaan memenangi 14-13-30.

Indonesia pula di tempat ketiga selepas mengutip 13 emas, 14 perak dan enam gangsa.

Esok, tumpuan kontinjen negara adalah dalam acara bina badan apabila juara dunia empat kali Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mike,' dijadual beraksi dalam acara Athletics Physique dan berpeluang menyumbangkan pingat emas buat Malaysia.

Kem negara juga berpeluang menambah koleksi pingat emas apabila skuad pingpong lelaki dijadual membuat perhitungan berdepan Thailand pada perlawanan akhir acara berpasukan.

Aksi jaguh lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli turut menjadi perhatian dan sudah tentu peluang beraksi di Hanoi enggan disia-siakan oleh atlet paralimpik negara itu yang akan bersaing dalam kategori normal.

Dua atlet yang beraksi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Khairul Anuar Mohamad dan Syaqiera Mashayikh, pula akan mengetuai cabaran Malaysia dalam acara memanah yang membuka tirai esok.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan