AM

JAS Johor siasat kemunculan ketulan buih putih di Sungai Skudai

09/05/2022 08:08 PM

JOHOR BAHRU, 9 Mei (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca kemunculan ketulan buih putih, di Sungai Skudai, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar berkata siasatan akan turut dilakukan terhadap premis-premis yang beroperasi di sepanjang sungai itu, yang dilihat berpotensi menyebabkan pencemaran.

Beliau berkata pihaknya menerima aduan berhubung kemunculan buih putih yang dikesan di sungai berkenaan sekitar jambatan Jalan Impian di Taman Impian Emas semalam, dan video yang memaparkan keadaan sungai itu turut tular di laman sosial.

Dalam kenyataan di sini hari ini katanya beliau bersama penguat kuasa JAS telah ‘turun padang’ kira-kira pukul 9 pagi tadi bagi menjalankan siasatan, namun mereka mendapati ketulan buih putih tidak lagi kelihatan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata sampel air sungai di loji rawatan air (LRA) Sultan Ismail berdekatan menunjukkan tahap kualiti air adalah normal, dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) adalah 4.95, manakala pH adalah 7, dan Raven Kumar pada masa sama menjelaskan pencemaran buih yang berlaku tidak menjejaskan operasi loji itu.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi kira-kira satu minit di Facebook yang memaparkan keadaan sungai itu mempunyai ketulan buih berwarna putih di atas permukaan air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan