EKONOMI

airasia grocer bawa mangga Harumanis Perlis ke pasaran antarabangsa

28/04/2022 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Platform beli-belah runcit dalam talian airasia grocer membawa mangga asli Harumanis dari Perlis yang terkenal dengan rasa dan baunya yang manis, ke pasaran antarabangsa.

Selain mengedarkan buah-buahan itu kepada rakan kongsi utama di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak pada masa ini, airasia grocer juga mewujudkan pengedaran rentas sempadan di Singapura dan Hong Kong, katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, anak syarikat Capital A Bhd itu berkata inisiatif tersebut disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian. 

"Buah-buahan yang memasuki ruang pasaran antarabangsa merupakan satu lagi pencapaian penting bagi kami yang dijayakan dengan kerjasama kami bersama MAFI, FAMA dan Jabatan Pertanian. Kami yakin penggemar mangga akan berkongsi rasa cinta kami terhadap buah yang rasanya manis dan berbau harum ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif airasia grocer, Joanna Ibrahim.

Buah-buahan itu dianggarkan sampai ke destinasi antarabangsa mereka dalam masa 48 jam dari masa ia dipetik, termasuk masa untuk pemeriksaan kualiti yang ketat, pembungkusan, masa penerbangan dan proses pelepasan kastam di destinasi penghantaran.

Menurut airasia grocer, ia memainkan peranan penting dalam memastikan produk tersebut sedia dieksport dan dipasarkan ke Asia.

“Ini selaras dengan visi airasia grocer untuk menghubungkan petani secara terus kepada perniagaan dan pengguna dalam Malaysia dan antarabangsa,” katanya.

Kenyataan itu juga memetik usahawan tani veteran Harumanis Muhammad Ihsan Ibrahim sebagai berkata masyarakat petani bersyukur dan gembira kerana hasil tani mereka dieksport ke pasaran antarabangsa dengan pantas dan berhati-hati berikutan dua tahun lepas merupakan tempoh yang amat sukar bagi kebanyakan petani.

“Pengendalian buah-buahan ini amat penting bagi memastikan kesegaran dan kualitinya terjaga,” katanya.

Mangga Harumanis dituai hanya sekali setahun, boleh ditempah sebelum musim berakhir pada bulan Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan