JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan penganggur terbabit kes samun bersenjata di kedai serbaneka

17/04/2022 10:30 PM

IPOH, 17 April (Bernama) -- Polis menahan seorang penganggur semalam kerana disyaki terlibat dalam kes samun menggunakan parang di beberapa kedai serbaneka di sekitar bandar raya Ipoh sejak Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata lelaki berusia 29 tahun yang baharu sahaja keluar dari penjara bulan lepas ditahan pada pukul 12.55 tengah malam semalam di sebuah rumah di Bandar Baru Putra di Bercham di sini.

"Kejadian samun bersenjatakan parang itu turut melibatkan kerugian iaitu 46 kotak pelbagai jenis rokok dan wang tunai berjumlah RM244 di beberapa kedai serbaneka berkenaan.

Dalam tempoh kurang daripada 30 jam selepas laporan polis diterima, polis berjaya menahan suspek serta merampas beberapa barangan kes termasuklah sebuah motosikal yang digunakan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Yahaya berkata suspek direman selama lima hari bermula semalam sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 kanun yang sama.

Beliau berkata dengan tertangkapnya suspek tersebut dipercayai sekurang- kurangnya tiga kes samun bersenjata parang yang dilaporkan di bandar raya ini telah dapat diselesaikan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan