AM

Persatuan pencinta alam harap syarikat telekomunikasi sama-sama lindungi sarang burung liar

10/04/2022 04:18 PM

KUALA TERENGGANU, 10 April (Bernama) -- Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Cawangan Terengganu, berharap agar syarikat telekomunikasi (Telco) di negara ini, dapat bersama-sama melindungi sarang burung liar yang sering menjadikan menara telekomunikasi sebagai ‘kediaman’ mereka.

Pengerusinya Wong Chee Ho berkata banyak menara telekomunikasi menjadi tempat pembiakan beberapa burung pemangsa liar, namun sangat mengecewakan apabila sarang haiwan itu telah dimusnahkan atau dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.

Menurutnya pada November tahun lepas, sepasang Helang Laut (Haliaeetus leucogaster) telah dikesan membina sarang di sebuah menara telekomunikasi di Hulu Terengganu. 

"Pada 31 Jan lepas, sarang yang sama dikesan telah mempunyai sebiji telur dan seekor anak burung yang baru menetas. Sepasang burung jantan dan betina juga dilihat kerap membawa makanan dan kembali ke sarang tersebut. 

"Namun, pada 16 Feb, sarang aktif yang mengandungi anak burung hidup itu telah hilang dan perkara sama turut berlaku di Kuala Nerus apabila sarang yang telah digunakan oleh burung Helang Laut selama beberapa tahun, yang dilihat mempunyai seekor anak burung juga telah hilang pada Mac lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Wong menyarankan agar Telco menggubal dasar yang dapat mampu memberi perlindungan kepada hidupan liar yang bersarang di menara tersebut. 

"Banyak negara lain sudah mempunyai protokol bagi menyokong kewujudan bersama manusia-hidupan liar yang melibatkan menara telekomunikasi. Terdapat pelbagai cara untuk sesebuah menara beroperasi dengan selamat apabila burung pemangsa memilih untuk bersarang di situ. 

"Menara-menara ini telah menjadi pilihan burung pemangsa kerana mempunyai platform yang stabil, lokasi yang strategik dan ketinggian optimum dan burung spesies ini cenderung menggunakan semula sarang yang sama pada setiap tahun," katanya.

Beliau berkata langkah terbaik yang boleh dilakukan Telco jika menemui sarang aktif burung liar ini adalah dengan membiarkannya tanpa gangguan sehingga anak burung itu meninggalkan sarangnya dan pihak telco boleh menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan menara.

“Jika lokasi sarang burung menyebabkan masalah serius terhadap keselamatan dan operasi menara, tinjauan berkala boleh dilakukan untuk mengenal pasti sama ada sarang itu sudah lama atau baru dibuat.

"Jika proses pembuatan sarang berada pada peringkat awal, pengendali menara telekomunikasi boleh mengalihkannya, namun jika sarang itu telah digunakan burung itu, ia hendaklah dibiarkan tanpa gangguan sehingga musim pembiakan berakhir,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan