KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) yang dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan pematuhan petunjuk prestasi utama (KPI) stesen pengawasan, berada di tahap memuaskan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, ia meliputi penyaluran data mentah, pelaporan data mentah stesen pengawasan kualiti udara automatik dan pensampelan stesen tapak pengawasan.
“Namun demikian, bagi ‘Certificate of Acceptance’ (CoA) stesen pengawasan dan pengoperasian stesen pengawasan, didapati dilaksanakan dengan kurang cekap.
“Selain itu, ketiadaan kaedah dan prosedur yang ditetapkan untuk pemantauan terhadap amaran awal yang diterima, boleh menjejaskan kecekapan dalam mengambil tindakan susulan,” menurut laporan itu.
Laporan itu berkata terdapat kelemahan yang perlu diberikan perhatian oleh JAS, iaitu dalam perolehan stesen gas toksik ‘Photo Ionized Detector’ (PID), pengurusan pembayaran ‘data environmental’, pengukuran stesen pengawasan kualiti marin, pentadbiran kontrak dan pajakan serta sewaan tapak bagi stesen pengawasan.
Bagi mengatasi kelemahan, laporan berkenaan mengesyorkan JAS supaya mengkaji semula penempatan stesen pengawasan secara berkala, dengan mengambil kira faktor seperti teknologi alat pengukuran, punca pencemaran dan keadaan geografi stesen, agar dapat mencapai objektif program.
Turut disyorkan adalah kajian semula klausa perjanjian konsesi mengenai ‘fixed EQMP charges’ stesen yang tidak beroperasi, supaya kerajaan mendapat manfaat bagi setiap bayaran yang dilakukan dan mengambil tindakan segera bagi memuktamadkan perjanjian pajakan dan sewaan tapak pengawasan, supaya hasil pajakan dan sewaan dapat dikutip kerajaan.
Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar dengan nilai kontrak sebanyak RM846.09 juta bagi tempoh konsesi 15 tahun dilaksanakan bermula 2017 hingga 2032.
Ia bertujuan untuk mengetahui tahap sebenar kualiti alam sekitar negara, selain bagi memastikan objektif kesinambungan pengumpulan data kualiti alam sekitar dan menyediakan sistem pengawasan dan pengesanan pencemaran yang cekap, berteknologi tinggi dan menyeluruh bagi mencegah pencemaran alam sekitar.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan