Dokumen Tambahan: Mahkamah Persekutuan Tangguh Keputusan Berhubung Rayuan AG

09/07/2025 03:49 PM

PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan Peguam Negara (AG) mengenai kewujudan dokumen tambahan yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang bertindak bagi pihak AG dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib.

"Kami akan memaklumkan kepada pihak berkaitan mengenai tarikh keputusan sebaik sahaja kami bersedia membuat keputusan," kata Hasnah yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Pada 28 April lepas, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada AG untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan yang didakwa berkaitan dengan Najib.

Pada 6 Jan lepas, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang kononnya membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah untuk diputuskan oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan merit.

Keputusan ini membatalkan perintah Mahkamah Tinggi sebelum itu yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen tambahan tersebut.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan rayuan serta permohonan semakan kehakimannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada Februari 2023, Lembaga Pengampunan telah meringankan hukuman penjara 12 tahun Najib kepada enam tahun manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah bahawa tanggungjawab untuk bersikap jujur (duty of candour) dalam semakan kehakiman tidak mewajibkan responden mendapatkan salinan dokumen tambahan itu kerana adalah menjadi tanggungjawab AG untuk mengesahkan atau menafikan kewujudannya pada peringkat permohonan bagi mendapatkan kebenaran jika pendakwaan mengemukakan bantahan.

Beliau berkata isu sama ada dokumen tambahan itu boleh diperoleh dengan usaha wajar semasa prosiding di Mahkamah Tinggi tidak berbangkit kerana pembuat afidavit dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai akses kepada dokumen itu disebabkan sifatnya yang sulit pada waktu berkenaan.

Beliau juga berhujah Najib telah mengambil langkah sewajarnya dalam usaha mengesahkan kewujudan dokumen itu.

Muhammad Shafee berkata dokumen itu hanya diperoleh selepas penghakiman oleh anak Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar dan tertakluk kepada syarat bahawa ia tidak boleh digunakan tanpa kebenaran pihak istana.

"Sekatan ini adalah penting kerana walaupun dokumen itu sudah diperoleh, responden tidak bebas daripada segi undang-undang atau etika untuk menggunakannya sehingga mendapat keizinan. Selepas keizinan diberikan pada 2 Dis 2024, responden segera memfailkannya di mahkamah,” katanya. 

Shamsul pula bersetuju dengan cadangan Hasnah bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mempertikai kewujudan dokumen tambahan itu. 

Bagaimanapun, beliau berhujah bahawa prosedur untuk mengemukakan dokumen itu perlu dipatuhi.

"Responden harus mematuhi peraturan dan tatacara mahkamah untuk mengemukakan bukti baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan