JENAYAH & MAHKAMAH

IPRS: PDRM naik taraf sistem laporan polis ke versi terkini

21/03/2022 11:39 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang dalam proses menaik taraf perkakasan dan perisian pangkalan data penerimaan laporan polis iaitu Integrated Polis Reporting System (IPRS) ke versi terkini.

Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Shukri Abdullah dalam kenyataan malam ini berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu telah dijalankan secara berfasa bermula 19 Mac lalu.

Katanya memo dalaman mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua formasi PDRM pada 15 Mac lalu, agar persediaan diaturkan bagi sistem menual digunakan di mana-mana formasi yang mengalami kesukaran mengakses IPRS dalam tempoh penyelenggaraan tersebut.

“Proses menaik taraf pangkalan data ini adalah seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak penyelenggaraan sistem berkenaan, demi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Pihak syarikat yang dilantik sedang menjalankan konfigurasi dan troubleshooting bagi isu-isu teknikal yang berbangkit ekoran proses migrasi data yang besar,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengesanan sebaran mesej di media sosial yang mendakwa, IPRS bagi menerima laporan-laporan polis mengalami gangguan teknikal untuk diakses di seluruh negara.

Shukri berkata sebarang kesukaran mengakses IPRS yang dialami, merupakan gangguan sementara dan keseluruhan proses penyenggaraan dijangka akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, PDRM mempunyai mekanisme proses kerja secara manual bagi memastikan kesukaran mengakses IPRS tidak menjejaskan penerimaan laporan polis.

“Orang ramai yang perlu membuat laporan polis masih boleh berurusan seperti biasa di mana-mana kaunter balai polis,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan