PUTRAJAYA, 24 Feb -- Malaysia akan memberi keutamaan bidang pelancongan pengalaman bagi menarik pelancong asing ke negara ini apabila sempadan negara dibuka nanti, kata Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof.
Beliau yang menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia berkata dalam tempoh pandemik COVID-19, pelancong lebih menggemari lokasi pelancongan yang kurang sesak bagi menjamin keselamatan daripada dijangkiti wabak tersebut.
“Pelancong lebih inginkan pelancongan pengalaman dan ini yang kita akan tekankan (apabila sempadan dibuka).
“Pelancongan berskala besar adalah kurang baik dalam tempoh pandemik ini. Untuk permulaan, mungkin boleh buat untuk kumpulan kecil dulu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan My Destination Sabah & Labuan Meet Johor & Putrajaya Roadshow 2022 di sini hari ini.
Produk berasaskan pelancongan pengalaman melibatkan destinasi menarik dan membawa pelancong mendekati budaya, warisan, makanan serta pelancongan berasaskan komuniti.
Pada 8 Feb lepas, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.
Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lepas dilapor berkata Kementerian Kesihatan kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan negara untuk mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Mengulas perkara itu, Iskandar Mirza berkata Tourism Malaysia sememangnya bersedia untuk pembukaan sempadan negara kerana ia mampu memulihkan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Kita perlu lihat apa SOP yang digariskan untuk pembukaan sempadan ini…segala keputusan adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
Tourism Malaysia adalah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan fokus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman berkata produk pelancongan berasaskan komuniti di luar bandar mampu menarik minat pelancong tempatan dan asing.
“Produk pelancongan di luar bandar mempunyai lokasi yang luas dan kurang sesak, ia secara tidak langsung lebih selesa untuk pelancong kerana SOP lebih mudah untuk dipraktikkan.
“Sabah dan negeri-negeri lain mempunyai pelbagai produk pelancongan dan budaya yang boleh diperkenalkan kepada pelancong," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial