MELAKA, 9 Feb (Bernama) -- Tempahan hotel dan inap desa di Melaka mencatat peningkatan memberangsangkan menjelang tempoh cuti panjang enam hari berturut-turut bermula pada 17 Feb ini, sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Khairulnizam Kasim berkata berdasarkan maklum balas pengusaha hotel, kadar penghunian dianggarkan antara 40 hingga 60 peratus sepanjang tempoh cuti berkenaan.
“Peningkatan ketara direkodkan terutama pada dua hari awal cuti, malah sebahagian hotel telah pun mencatat tempahan penuh lebih awal lagi,” katanya kepada Bernama.
Cuti panjang itu merangkumi sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Feb, diikuti cuti khas 1 Ramadan pada 19 Feb, serta Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Feb sebelum disambung dengan cuti hujung minggu.
Khairulnizam berkata tempahan tahun ini dibuat lebih awal berbanding kelaziman kerana Melaka kekal menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan selain terdapat pelbagai program pelancongan negeri yang menarik pengunjung.
“Majoriti tempahan diterima daripada pelancong tempatan, dengan trend menginap di hotel meningkat berbanding pulang ke kampung atau menginap di rumah saudara-mara. Kebanyakan hotel turut menawarkan promosi serta pakej penginapan bagi menggalakkan pelancong tinggal sekurang-kurangnya tiga hari dua malam,” katanya.
Beliau berkata pengurusan hotel juga membuat persiapan awal termasuk mengambil pekerja sambilan bagi memastikan operasi dan mutu perkhidmatan kekal lancar sepanjang tempoh peningkatan pelancong.
Peningkatan tempahan itu, katanya, memberikan peluang kepada pemain industri pelancongan menikmati peningkatan jualan walaupun industri masih berdepan dengan cabaran pertambahan penginapan tidak berdaftar yang menjejaskan jualan hotel berlesen.
Khairulnizam menjangkakan industri perhotelan Melaka terus mencatat prestasi positif sepanjang musim cuti sekolah dan perayaan pada tahun ini, didorong oleh peningkatan pelancongan domestik serta pelbagai acara pelancongan di negeri itu.
“Kadar penghunian hotel dijangka meningkat antara 70 hingga 90 peratus semasa cuti sekolah pertengahan dan akhir tahun, manakala musim perayaan utama berpotensi mencatat kadar hampir penuh, khususnya di kawasan tumpuan pelancong seperti Banda Hilir dan pusat bandar.
“Hotel kategori bajet dan sederhana dijangka menerima permintaan tertinggi susulan peningkatan pelancong keluarga, manakala hotel bertaraf tinggi turut mendapat manfaat daripada penganjuran acara dan persidangan sepanjang tahun. Secara keseluruhan, industri hotel Melaka dijangka kekal stabil dengan musim cuti sekolah serta perayaan menjadi pemacu utama peningkatan tempahan dan hasil hotel,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Negeri Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata tempahan inap desa meningkat kira-kira 30 peratus berbanding tempoh biasa, dengan sebahagian pelancong datang terus tanpa membuat tempahan terlebih dahulu, manakala kumpulan besar lazimnya menempah lebih awal.
Beliau berkata kebanyakan yang datang adalah untuk bercuti atau menghadiri majlis seperti perkahwinan dan pertunangan yang terdiri daripada pelancong tempatan dan juga antarabangsa.
“Setiap kali musim perayaan, kebanyakan homestay mencapai tempahan penuh dan ada pengusaha menambah bilik bagi menampung permintaan yang meningkat setiap tahun. Ramai juga berhasrat mendapatkan pinjaman bagi membesarkan perusahaan mereka,” katanya.
Akramuddin berkata kebanyakan inap desa sedia ada mempunyai dua hingga tiga bilik yang mampu menampung kira-kira 10 tetamu pada satu-satu masa, justeru peningkatan tempahan mendorong pengusaha menambah kapasiti.
“Pelancong yang datang ke Melaka bukan sahaja ingin melawat lokasi bersejarah, tetapi turut mencari penginapan selesa pada harga berpatutan dan homestay menjadi pilihan terbaik untuk memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa pengusaha agar dapat menyediakan kemudahan tambahan seperti Internet dan kolam renang yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial