SUKAN

Piala FA: Perhitungan awal TFC, Negeri Sembilan FC

23/02/2022 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb -- Pertembungan dua pasukan Liga Super Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC menjadi antara aksi tumpuan pusingan pertama saingan Piala FA yang kembali merancakkan kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Aksi menarik pusingan pertama turut menemukan dua pasukan Liga Premier, Kuching City FC dan UiTM FC, selain perlawanan membabitkan satu lagi wakil Liga Premier, Kelantan FC berdepan pasukan Liga Super, Petaling Jaya (PJ) City FC.

Juara 2019, Kedah Darul Aman (KDA) FC pula menerima laluan mudah selepas diundi menentang wakil Liga M3, Sains FC sementara Juara Liga Super lapan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) menanti pemenang aksi pusingan kelayakan antara BRM FC dan Tun Razak City FC.

Sementara itu, pemenang terbanyak bersama, Selangor FC yang berkongsi rekod lima kejuaraan Piala FA bersama KDA FC dijangka tidak berdepan masalah mara ke peringkat seterusnya apabila diundi bertemu pasukan Liga M3 Harini FT.

Majlis undian itu yang dibuat secara langsung dalam talian dan disiarkan di Facebook rasmi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), melibatkan kesemua 12 pasukan Liga Super, tujuh pasukan Liga Premier dan 15 pasukan Liga M3.

Saingan Piala FA akan membuka tirai dengan aksi pusingan kelayakan membabitkan dua perlawanan masing-masing antara BRM FC menentang Tun Razak City FC serta Bukit Tambun FC melawan Imigresen FC yang dijadual berlangsung pada 6 Mac ini diikuti aksi pusingan pertama dari 11 hingga13 Mac.

Sementara itu, menurut MFL wakil pasukan Liga M3 yang melepasi pusingan pertama akan tampil dengan status sebagai pasukan pelawat sekiranya diundi bertemu skuad Liga Super atau Liga Premier pada pusingan kedua.

Ia susulan venue milik pasukan Liga Super dan Liga Premier lebih menepati keperluan komersial, piawaian penyiaran perlawanan serta prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19 Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebagai rekod, saingan Piala FA yang diperkenalkan sejak tahun 1990 terpaksa dibatalkan pada 2020 dan 2021 ekoran penularan pandemik COVID-19.

Berikut adalah keputusan undian Piala FA 2022:

 

Pusingan Kelayakan:

 

BRM FC lwn Tun Razak City FC 

Bukit Tambun FC lwn Imigresen FC

 

Pusingan Pertama:

 

Selangor FC lwn Harini FT

PJ City FC lwn Kelantan FC

Sabah FC lwn Respect FC

Sri Pahang FC lwn Manjung City FC

Terengganu FC lwn Negeri Sembilan FC

Skuad Projek FAM-MSN lwn Tok Janggut Warriors

JDT lwn Pemenang aksi pusingan kelayakan satu

Kuala Lumpur City FC lwn Langkawi City FC

Kelantan United FC lwn Kinabalu Jaguar FC

Melaka United FC lwn PIB FC

PDRM FC lwn Perlis United FC

KDA FC lwn Sains FC

Perak FC lwn Kijang Rangers FC

Penang FC lwn Pemenang aksi pusingan kelayakan dua

Kuching City FC lwn UiTM FC

Sarawak United FC lwn Ultimate FC

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan