DUNIA

Cetakan Seni Jepun yang mengubah kesenian global, kini dipamerkan di Malaysia

03/02/2022 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb -- Penggemar seni berpeluang menikmati hasil cetakan seni Jepun era 1970-an yang mengubah pemandangan seni global, menerusi pameran yang berlangsung di Aras 5, GMBB, Kuala Lumpur yang bermula pada 17 Jan lepas dan akan berakhir pada 27 Feb ini.

Bagi menarik kunjungan lebih ramai penonton, pameran bertajuk 'Imej Fotografi dan Bahan: Cetakan Jepun 1970-an' akan turut dipamerkan di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dari 10 Mac hingga 8 April dan Galeri Seni Sabah, Sabah mulai April 18 hingga 18 Mei.

“Pameran itu memaparkan ekspresi cetakan dari 1970-an seperti dalam karya 14 artis yang membantu mengembangkan gerakan percetakan dunia seni kontemporari Jepun sejak 1970-an,” kata Yayasan Jepun di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan.

Pameran itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu “The Age of Photographic Images,” (Imej Fotografi Masa) memfokuskan penggunaan imej fotografi dalam media cetak dan “Images of Autonomous Matter” (Imej Bahan Berautonomi) yang mempamerkan karya diperbuat menggunakan bahan seperti batu, kayu, kertas, kapas dan kepingan keluli, menurut kenyataan itu.

“Kesenian ini dicetuskan Tetsuya Noda, penerima Hadiah Utama Antarabangsa, edisi keenam Pameran Cetakan Dwitahunan Antarabangsa, pada 1968.

"Hasil tangan Noda mengubah potret fotografi keluarganya kepada cetakan membawa perubahan besar kepada dunia, mewujudkan persamaan antara trend dalam cetakan dan kesenian kontemporari, sambil memberi inspirasi dalam perkembangan masa depan bidang seni," tambah kenyataan itu.

Masuk adalah percuma dan untuk maklumat lanjut boleh layari laman web: https://www.jfkl.org.my/events/japanese-prints-1970/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan