PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu pada 1 hingga 3 Ogos ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata edisi kali ini istimewa kerana ia merupakan tahun ke-50 sejak HPPNK diperkenalkan pada 1975.
Beliau berkata sambutan bertemakan “Kudrat Kami Menjamin Pertiwi" itu menonjolkan semangat dan komitmen warga sektor pertanian, penternakan dan perikanan dalam memastikan keterjaminan makanan untuk kesejahteraan rakyat.
“HPPNK adalah acara berprestij yang akan menghimpunkan warga peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara bagi meraikan sumbangan mereka dalam memastikan kecukupan dan keterjaminan makanan serta memacu pembangunan sektor agromakanan negara,” katanya pada majlis prapelancaran HPPNK 2025 di sini hari ini.
Mohamad berkata sambutan HPPNK 2025 dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka menarik kedatangan lebih 500,000 pengunjung serta nilai jualan mencecah RM100 juta.
Beliau berkata sebanyak 18 segmen menarik akan diketengahkan menerusi empat fokus utama iaitu Agro Millenia, Cukup dan Terjamin, Sejahtera MADANI, serta Jualan dan Keusahawanan.
Tarikan utama antaranya ialah Jualan Agro MADANI Mega berkonsepkan Makanan Malaysia MADANI yang menawarkan lebih 300 menu makanan termasuk hidangan popular Sabah serta penawaran barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
“Pelbagai pameran dan aktiviti teknologi serta inovasi akan diadakan termasuk pameran teknologi dan kelestarian, segmen tanaman dan padi serta pameran ternakan dan akuakultur,” katanya.
Mohamad berkata keterjaminan makanan akan terus menjadi tumpuan utama KPKM dalam mengurangkan kebergantungan kepada import dan menggalakkan pengeluaran tempatan.
“HPPNK bukan sahaja meraikan jasa mereka yang berada di lapangan, tetapi juga membuka peluang untuk jaringan strategik, pertukaran ilmu dan prospek perniagaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial