KUALA LUMPUR, 28 Jan -- Pendapatan hartanah bersih (NPI) Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) naik 86.5 peratus kepada RM123.1 juta bagi suku keenam tempoh kewangan berakhir pada 31 Dis 2021 berbanding RM66 juta yang direkodkan semasa pada suku kedua tempoh kewangan 2021.
Pendapatan yang direalisasikan adalah lebih daripada dua kali ganda kepada RM72.7 juta pada suku tahun yang ditinjau.
Pengurus Sunway REIT iaitu Sunway Reit Management Sdn Bhd dalam satu kenyataan menjelaskan pendapatan kasarnya melonjak 64.8 peratus kepada RM157.8 juta pada suku keenam tempoh kewangan daripada RM95.8 juta yang dicatatkan pada suku kedua tempoh kewangan 2021, selepas disumbangkan oleh perolehan kasar yang lebih tinggi daripada semua segmen dan pengiktirafan pendapatan pajakan belum direalisasikan berjumlah RM19.6 juta di bawah Pajakan 16 Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS).
Tanpa dimasukkan pendapatan pajakan tidak dibilkan belum direalisasikan, pendapatan kasar meningkat 44.3 peratus pada suku keenam tempoh kewangan 2021 daripada suku yang dibuat perbandingan.
“Bagi suku dalam tinjauan, hasil kasar untuk segmen runcit bertambah 62.7 peratus kepada RM92.4 juta berbanding RM56.8 juta semasa suku kedua tempoh kewangan 2021, disebabkan oleh pemulihan yang menggalakkan dalam jumlah jualan runcit dan jualan runcit selaras dengan pelonggaran sekatan pergerakan berbanding ketika beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Menjelang hujung suku keenam, angka pengunjung peruncitan dan jualan runcit telah kembali normal berbanding sebelum COVID-19,” tambahnya.
Menurut kenyataan itu lagi, segmen perhotelan merekodkan hasil kasar sebanyak RM9.8 juta pada suku keenam tempoh kewangan 2021, menokok 24.0 peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya berikutan penarikan balik sekatan perjalanan antara negeri serta penyambungan semula industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
Pendapatan kasar bagi segmen pejabat melonjak 31.4 peratus kepada RM19.1 juta daripada RM14.5 juta.
Untuk suku yang ditinjau, Sunway REIT telah mencadangkan pengagihan seunit (DPU) sebanyak 2.8 sen, mewakili pengagihan pendapatan separuh tahunan berbanding 77 sen yang diisytiharkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Jumlah DPU secara kumulatif yang dicadangkan atau diisytiharkan bagi tempoh kewangan 2021 berjumlah pada 6.1 sen.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Datuk Jeffrey Ng berkata Sunway REIT menjangkakan prestasi perniagaannya akan bertambah baik pada tahun kewangan 2022, disokong oleh pembukaan semula sektor ekonomi, pertumbuhan ekonomi yang sihat, kemajuan positif dalam kadar vaksin, pembukaan semula Sunway Resort Hotel dan sumbangan pendapatan baharu daripada pembesaran Pusat Beli-belah Sunway Carnival.
"Sunway REIT berada pada kedudukan yang baik bagi memanfaatkan peluang pemerolehan yang mungkin timbul untuk mengembangkan portfolio asetnya sejajar dengan pelan pertumbuhan jangka sederhananya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial