KUALA LUMPUR, 27 Jan -- Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berazam membawa pulang sebutir pingat emas pada temasya Sukan Deaflympic di Caxias Do Sul, Brazil, pada 1-15 Mei ini.
Presidennya Ong Shin Ruenn berkata sasaran pingat disandarkan pada pemenang pingat gangsa acara badminton perseorangan wanita Deaflympic 2019, Boon Wei Ying.
“Kita akan diwakili 24 atlet dalam lima sukan iaitu boling, badminton, karate, olahraga dan lumba basikal bukit,” katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan bernilai RM243,700 daripada Yakult Malaysia di sini, hari ini.
Mengenai sumbangan itu, Ong berkata ia akan digunakan untuk program pembangunan sukan bagi golongan Orang Kurang Upaya, termasuk sebagai persiapan menghadapi Deaflympic dan Kelayakan Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asia-Pasifik di Jeju, Korea, Oktober ini.
Katanya, MSDeaf juga akan menganjurkan kursus kepimpinan bagi ahli-ahli gabungannya di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia Hiroshi Hamada berkata pihaknya berjaya mengumpul dana berjumlah RM315,000 menerusi penganjuran perlawanan bola sepak amal Yakult di Stadium Bola Kuala Lumpur, Cheras, pada 11 Dis lepas.
Beliau berkata pihaknya berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan dijadikan acara tahunan bagi membantu mereka yang memerlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial