JENAYAH & MAHKAMAH

Dua lelaki ditahan, kurier dadah dari KL sebelum edar di Pekan

17/01/2022 05:50 PM

PEKAN, 17 Jan  -- Seorang pemandu lori warga Indonesia dan pesawah tempatan ditahan di sini pada Rabu lepas, disyaki mengedar dadah jenis ganja dan syabu bernilai RM19,000 yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier dari Kuala Lumpur kepada mereka.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya telah menahan pemandu lori pasir berumur 24 tahun di sebuah rumah di Taman Shahbandar Peramu, di sini sekitar 10.30 malam sebelum menemukan dadah jenis ganja di bahagian dapur dan bilik tidur.

"Ketika pemeriksaan sebanyak 35 ketulan daun kering mampat berbalut plastik disyaki dadah jenis ganja seberat 272.95 gram ditemukan disorok dalam rak pakaian di bilik tidur suspek.

"Malah, terdapat juga guni plastik berwarna merah putih yang di dalamnya mengandungi satu kotak berbalut plastik hitam dengan pelekat fragile handle with care syarikat kurier yang mana terdapat 7.3 kilogram dadah disyaki ganja ditemukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini hari ini.

Menurutnya, tangkapan berkenaan telah membawa kepada penahanan suspek kedua iaitu seorang pesawah berusia 27 tahun yang tinggal berhadapan rumah suspek pertama pada 11.30 malam dan polis merampas dadah jenis ganja seberat 51.37 gram dan syabu seberat 4.07 gram bersama wang tunai RM1,649.

Mengulas lanjut, beliau berkata dadah berkenaan mampu menampung permintaan 700 orang penagih di sekitar Pekan dan beberapa daerah berdekatan, malah pihaknya percaya suspek sudah beberapa kali menggunakan perkhidmatan kurier untuk proses penghantaran dadah dari Kuala Lumpur ke Pekan.

Katanya suspek pertama direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 kerana tinggal melebihi tempoh masa di negara ini manakala suspek kedua ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

Kedua-dua mereka direman hingga Rabu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan