EKONOMI

Wiwynn labur RM200 juta majukan kilang khidmat bersepadu di Johor

20/12/2021 10:01 PM

JOHOR BAHRU, 20 Dis -- Wiwynn Corporation, penyedia infrastruktur teknologi maklumat (IT) pengkomputeran awan berpejabat di Taiwan bagi kemudahan pusat-pusat data skala hiper, akan memajukan tanah seluas 4.806 hektar yang menempatkan kilang rak khidmat pelayan bersepadu di Johor dengan pelaburan bernilai RM200 juta.

Dalam kenyataannya hari ini, Naib Presiden Rantaian Bekalan dan Pengeluarannya Robin Wang berkata langkah pengembangan kilang di Johor dengan pengeluaran dijangka bermula 2023, juga menjadi usaha penting bagi kehadiran pertama syarikat itu di luar negara.

Pada masa depan, kilang di Malaysia itu bukan setakat memenuhi permintaan pusat-pusat data lain di Asia Tenggara, sebaliknya akan turut menjadi pusat perkhidmatan Wiwynn di rantau Asia Pasifik.

Wang juga menyifatkan permintaan terhadap perkhidmatan awan di Asia Tenggara mencatat perkembangan pesat sejak beberapa tahun lepas dan kebanyakan penyedia khidmat bertindak membangunkan pusat data di sini selain membawa bersama peluang besar bagi infrastruktur IT awan.

“Langkah di Malaysia ini bukan hanya kerana kami melihat wujudnya potensi perniagaan di sini, tetapi turut menjadi antara pencapaian strategi pengeluaran global kami.

“Pembangunan kilang ini adalah berdasarkan piawaian emas atau tahap tertinggi teknologi Indeks Bangunan Hijau (GBI) selain melaksanakan teknologi pembuatan pintar yang memaparkan komitmen kami terhadap usaha persekitaran dan operasi mampan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai Natazha Hariss berkata selain membawa masuk teknologi hijau dan pengilangan pintar, kilang Wiwynn akan turut membantu mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan di Johor.

“Kami gembira dengan langkah pelaburan Wiwynn di Senai, Johor. Kilang baharu ini akan membolehkan warga tempatan meraih manfaat menerusi peluang pekerjaan yang ada, terutamanya selepas ramai rakyat Malaysia memutuskan untuk kembali dari Singapura susulan langkah kawalan pergerakan akibat pandemik,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan