KULAI, 12 Jun (Bernama) -- Johor secara rasmi menjadi kuasa serantau utama dalam pelaburan teknologi tinggi, melalui jalinan kerjasama dengan syarikat gergasi teknologi global, termasuk Huawei dan Agibot, untuk memacu projek Bandar Pintar Teknologi Johor bernilai RM80 bilion.
Projek berimpak tinggi ini, bernilai RM80 bilion dan meliputi kawasan seluas 930.78 hektar, merupakan langkah strategik kerajaan negeri untuk mempercepat agenda digital dan keterjaminan makanannya selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal, malah menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi Johor dan dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan berkualiti.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada sektor termasuk teknologi, kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bakat.
“Kami ingin memastikan kemakmuran ekonomi memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, terutamanya melalui pembangunan bakat tempatan,” katanya dalam ucapan perasmian pada program Agtech City di Bandar Genting di sini hari ini.
Bagi melancarkan pelaburan, kerajaan negeri komited untuk memudah cara perniagaan melalui pusat sehenti seperti Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor, bertujuan mengurangkan birokrasi.
Bandar Pintar Teknologi Johor akan dibangunkan sebagai ekosistem bersepadu menggabungkan AgTech Campus dan Knowledge AI Campus. Bagi merealisasikan visi ini, Genting Property dan ACGT Sdn Bhd bekerjasama dengan rangkaian peneraju teknikal global.
Kampus pintar Huawei di Shanghai dan Dongguan menjadi inspirasi asas bagi pelan induk Knowledge AI Campus, disokong oleh pakar perancangan bandar dan reka bentuk sistem pintar, B+H dan Surbana Jurong.
Ekosistem AgTech Campus diperkukuh oleh perintis industri, termasuk China Shouguang Vegetable Industry Group untuk R&D benih dan pembangunan tanaman tropika, DAYU Irrigation untuk pengurusan air dan nutrien berasaskan ketepatan tinggi, XAG untuk teknologi robotik pertanian autonomi yang menerajui pasaran dan AIRSAT, yang menyediakan risikan satelit dan analisis data tanaman jarak jauh.
Onn Hafiz menegaskan bahawa pembangunan ini akan memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan disepadukan dalam rantaian bekalan, mengelak daripada mereka ketinggalan dalam landskap ekonomi baharu ini.
“Kita perlu memastikan PKS di Johor turut berkembang maju apabila syarikat dari China memasuki negeri ini. Walaupun kita mengalu-alukan kemasukan syarikat China ke Johor, PKS tempatan tidak boleh dipinggirkan,” katanya.
Projek ini merupakan sebahagian daripada momentum pertumbuhan ekonomi Johor yang kukuh, dengan negeri ini mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion sejak Januari 2024, sekali gus mencatatkan pencapaian tertinggi pada peringkat negara.
Usaha ini dijangka menjadikan Johor sebagai destinasi utama pelabur global dalam bidang inovasi, teknologi masa depan dan keterjaminan makanan di Asia Tenggara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial