KOTA KINABALU, 19 Dis -- Sebanyak 48 projek berpaksikan rakyat yang berimpak tinggi dilaksanakan di Parlimen Pensiangan sepanjang 2020 dan 2021, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata pelaksanaan projek berimpak tinggi itu merangkumi pembaikan infrastruktur dan fasiliti rosak seperti dewan komuniti, jambatan, balai budaya serta sistem bekalan air graviti.
Bagi Dewan Undangan Negeri Nabawan pula, Arthur berkata sebanyak 24 projek pembaikan telah dilaksanakan khusus di kawasan itu dalam tempoh dua tahun ini dengan peruntukan keseluruhan RM2.59 juta.
“Jeti Kampung Buntulon, Pagalungan yang dirasmikan hari ini mencerminkan kerajaan cakna dan prihatin kepada pembangunan infrastruktur berdasarkan keperluan lokaliti setempat.
“Pembangunan tersebut turut diberi keutamaan kepada masyarakat tinggal di kawasan pedalaman selaras dengan semangat keterangkuman di dalam Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, pembinaan jeti di kampung itu merupakan pembangunan infrastruktur asas signifikan kepada penduduk di sekitar kawasan Pagalungan yang menggunakan sungai sebagai kaedah pengangkutan utama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Pembaikan jeti dengan peruntukan RM200,000 itu juga dilihat akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Kampung Buntulon dan kawasan berhampiran, katanya.
“Infrastruktur inklusif dan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selari dengan hasrat ‘tiada yang tertinggal’ seperti digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas.
“Dengan sokongan rakyat yang utuh, landskap politik stabil menjurus kepada pemulihan ekonomi lancar akan dapat merealisasikan aspriasi kerajaan memakmurkan negara dan rakyat di setiap pelusuk kawasan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial