AM

Berita-berita ringkas Dewan Rakyat: 9 Dis

09/12/2021 08:42 PM

TOURISM MALAYSIA KEMAS KINI BROSUR EKOPELANCONGAN

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Tourism Malaysia sedang mengemas kini brosur ekopelancongan selain akan menerbitkan edisi baharu majalah berbasikal seiring komitmen kerajaan dalam membangunkan produk pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengemaskinian brosur bertajuk 'Adventure with Nature' itu akan menambah baik maklumat destinasi pengembaraan lasak serta memuatkan panduan dan tip praktikal ketika melancong ke destinasi ekopelancongan.

“Edisi baharu buku panduan (majalah berbasikal) yang dirancang untuk diterbitkan pada tahun hadapan ini akan turut meliputi elemen aktiviti berbasikal yang lebih menarik dan mesra alam sekitar, selaras dengan konsep pelancongan mampan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu langkah kementerian itu dalam mengintegrasikan antara minat individu yang suka berekreasi dengan mendaki, berkelah dan berbasikal di kawasan air terjun serta hutan yang digazetkan sebagai hutan simpan dalam masa yang sama memelihara alam sekitar.

-- BERNAMA

 

PENETAPAN SESI SEKOLAH MULA MAC BERDASARKAN PERUNTUKAN AKTA 550

 

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Ketetapan sesi persekolahan 2022 dan 2023 untuk bermula pada Mac adalah berdasarkan peruntukan di dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) iaitu berhubung dengan bilangan hari persekolahan.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini berkata sesi persekolahan itu akan dijadikan sebagai panduan dalam menetapkan sesi persekolahan pada tahun berikutnya.

“KPM (Kementerian Pendidikan) juga akan mengambil kira pelbagai faktor termasuklah situasi semasa dan maklum balas daripada pihak yang berkepentingan,” katanya menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang bertanyakan rasional pendirian kerajaan bahawa sesi persekolahan baharu akan bermula pada Mac setiap tahun.

-- BERNAMA

 

KPM SEWAKAN 566 KUARTERS KOSONG KEPADA AGENSI AWAM, SWASTA 

 

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menyewakan 566 unit kuarters kakitangan pendidikan yang kosong kepada agensi awam dan swasta mulai 2011 hingga tahun ini.

KPM di dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 478 unit kuarters disewakan kepada universiti awam dan swasta manakala 88 unit lagi disewakan kepada syarikat swasta.

“Sepanjang 2021, sebanyak 21 unit kuarters guru diluluskan tukar fungsi kepada taska, bilik pengajaran dan pembelajaran, galeri seni, surau, bengkel, pejabat pentadbiran dan koperasi sekolah,” menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) mengenai status kuarters pendidikan guru yang terbiar dan usang akibat tiada penggunaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan