JENAYAH & MAHKAMAH

Pemuda ditahan menyamar pegawai tentera

02/12/2021 06:36 PM

ALOR GAJAH, 2 Dis  -- Polis menahan seorang lelaki berumur 19 tahun kerana disyaki menyamar sebagai pegawai tentera dan memiliki kelengkapan pakaian pasukan itu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan sepasukan pegawai tentera dari Kem Terendak kira-kira 9.15 malam.

"Hasil pemeriksaan menemukan barangan ketenteraan antaranya tiga pasang pakaian berserta pangkat kapten dan aksesori, kasut, tali pinggang Kor Artileri, beret merun, stoking hijau dan apulet loreng berpangkat Leftenan Kolonel.

"Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memperoleh pakaian tentera itu dengan membelinya secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Arshad berkata siasatan lanjut ke atas suspek mendapati pemuda itu terlibat dalam satu kes penipuan dengan memperdaya seorang lelaki dengan masalah peribadi dan urusan perkahwinan menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM21,400.

Beliau berkata suspek telah memperdaya mangsa dengan membawa watak jantina berlainan iaitu menyamar sebagai Mejar Shuhada dan Kapten Saufi melalui perkenalan menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Suspek juga disyaki terlibat dalam satu kes liwat yang dilaporkan seorang mangsa dalam kejadian berlaku pada 23 hingga 25 Nov lepas di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru," katanya.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama lima hari bermula semalam di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan kerana memiliki pakaian askar dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan seks di luar tabii.

Dalam kes lain, Arshad berkata polis menahan lima lelaki dan seorang wanita berumur antara 27 hingga 55 tahun dalam beberapa siri serbuan di sekitar Alor Gajah pada 25, 26 dan 30 Nov lepas.

"Kesemua mereka ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu, heroin dan pil Erimin 5 untuk pasaran tempatan dengan rampasan keseluruhan bernilai RM92,840," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan