EKONOMI

Keuntungan kasar MNRB meningkat 17.3 peratus

02/12/2021 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis -- MNRB Holdings Berhad (MNRB) mengumumkan keputusan kewangannya bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Sept 2021 (Separuh Pertama TK2022).

Kumpulan MNRB mencatatkan peningkatan sebanyak 17.3 peratus dalam premium kasar dan sumbangan takaful kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.1 bilion yang dicatatkan pada separuh pertama TK2021.

Keuntungan Bersih Kumpulan MNRB susut sedikit sebanyak 8.4 peratus kepada RM85.4 juta daripada RM93.2 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu berikutan pendapatan pelaburan yang lebih rendah.

Mengulas mengenai prestasi Kumpulan MNRB bagi tempoh separuh pertama TK2022 Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zaharudin Daud berkata tempoh separuh pertama TK2022 memberi cabaran kepada operasi kami berikutan langkah-langkah pengawalan yang dipertingkatkan akibat pertambahan kes COVID-19.

“Walau bagaimanapun, pengoperasian anak-anak syarikat Kumpulan MNRB kekal kukuh dalam menghadapi situasi ini. Kami terus membina momentum, dan ini dibuktikan dengan peningkatan keuntungan kasar kami,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengenai Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), iaitu anak syarikat insurans semula Kumpulan MNRB pula, telah mencatatkan pertumbuhan premium kasar dan sumbangan kasar sebanyak 23.8 peratus kepada RM831.5 juta berbanding RM671.5 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan kukuh segmen perniagaan luar negara syarikat serta kontrak tempatan.

Malaysian Re turut mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 6.0 peratus kepada RM49.7 juta berbanding RM46.9 juta pada separuh pertama TK2021 disebabkan peningkatan premium bersih.  

Manakala Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS General), iaitu anak syarikat Takaful Am Kumpulan MNRB, mencatatkan sedikit penurunan dalam sumbangan kasar iaitu sebanyak 0.6 peratus kepada RM202.9 juta pada separuh pertama TK2022 daripada RM204.2 juta pada separuh pertama TK2021.

Namun demikian, Takaful IKHLAS General mencatatkan pertumbuhan dalam perniagaan insurans motor dan kemalangan peribadi (P.A.) pada separuh pertama TK2022 masing-masing meningkat sebanyak 2.4 peratus dan 19.4 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.

Keuntungan bersih pula susut 18.5 peratus kepada RM12.8 juta daripada RM15.7 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ini disebabkan oleh pendapatan pelaburan bersih yang lebih rendah dan perbelanjaan pengurusan yang lebih tinggi.  

Sumbangan kasar perniagaan Takaful Keluarga Kumpulan, Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS Family) pula melonjak sebanyak 20.5 peratus kepada RM318.0 juta daripada RM264.0 juta yang dicatatkan pada separuh pertama TK2021, dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh perniagaan agensi.

Perniagaan baharu bagi Takaful IKHLAS Family, berdasarkan purata sumbangan tahunan telah meningkat sebanyak 38.7 peratus kepada RM42.3 juta daripada RM30.5 juta pada separuh pertama TK 2021.

Tempoh separuh pertama TK2022 juga menyaksikan keuntungan bersih Takaful IKHLAS Family meningkat dengan ketara sebanyak 42.6 peratus kepada RM19.4 juta daripada RM13.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, disumbangkan oleh yuran wakalah yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan sumbangan kasar.

Menurut Zaharudin, rakyat Malaysia kini lebih sedar tentang keperluan kesihatan mereka dan kepentingan menyediakan jaringan keselamatan kewangan untuk keluarga dan orang tersayang.

“Takaful IKHLAS akan terus menawarkan pelan perlindungan takaful kepada rakyat Malaysia yang memberikan ketenangan fikiran ketika menghadapi tempoh yang sukar ini, dengan nilai tambah perkhidmatan pelanggan yang cemerlang,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan