KUALA LUMPUR, 1 Dis -- Kerajaan menggalakkan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan memakai pakaian batik Malaysia sebagai pakaian bekerja pada setiap Khamis termasuk bagi menghadiri majlis rasmi dalam atau luar negara seperti persidangan antarabangsa atau perjumpaan pelawat asing.
Menurut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 yang diedarkan hari ini, yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, ketetapan pemakaian pakaian batik Malaysia itu tidak terpakai kepada pegawai yang dibekalkan dengan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi yang telah ditetapkan kod pakaian tertentu.
Dasar baharu itu juga tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, pemakaian peruntukan Surat Pekeliling Perkhidmatan tersebut dipanjangkan kepada semua perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Menurut pekililing itu ketetapan baharu itu meminda kehendak pemakaian pakaian batik Malaysia perenggan 4, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2006 mengenai Fesyen Pakaian Alternatif Sebagai Pakaian Semasa Bekerja dan Menghadiri Upacara Rasmi.
"Dengan berkuat kuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2008 mengenai Pemakaian Pakaian Batik Malaysia oleh Pegawai Awam Pada Hari Khamis adalah dengan ini dibatalkan," menurut pekeliling itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengisytiharkan tarikh 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini dan berharap pengisytiharan tersebut dapat menggalakkan seluruh rakyat termasuk pihak swasta dan semua masyarakat berbilang kaum untuk memakai pakaian batik Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial