POLITIK

GPS terima keputusan Manyin tidak bertanding pada PRN Sarawak

27/11/2021 07:49 PM

SERIAN, 27 Nov -- Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Datuk Amar Michael Manyin Jawong untuk tidak mempertahan kerusi yang disandangnya selama 25 tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi GPS merangkap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau menghormati keputusan Manyin yang berhasrat memberi laluan kepada calon lebih muda untuk menggantikannya.

“Kita berterima kasih kepada Manyin atas khidmat bakti beliau kepada negeri, kerajaan dan rakyat selama lima penggal sebagai ADUN dan Menteri Kabinet Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks Pentadbiran Baharu Bahagian Serian di sini hari ini.

Manyin, 76, yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak pada Selasa lepas mengumumkan hasrat untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak ke-12 bagi kerusi Tebedu yang dimenanginya sejak 1996 dan dipertahan dalam empat PRN selepas itu.

“Saya sudah bercakap (tentang) perkara (enggan bertanding dalam PRN Sarawak ke-12) ini sejak tahun lepas,” katanya kepada media dalam satu majlis di sini.

Abang Johari juga berkata pucuk pimpinan GPS sudah mengenal pasti calon untuk menggantikan Manyin bagi mempertahan kerusi Tebedu tetapi beliau enggan menamakan individu itu hari ini.

Beliau yakin GPS mampu memenangi kesemua lapan kerusi di kawasan majoriti kaum Bidayuh iaitu Opar, Tasik Biru, Serumbu, Mambong, Tarat, Tebedu, Bukit Semuja dan Kedup kerana mereka adalah penyokong kuat  kerajaan negeri yang dibentuknya selama ini.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan status daerah kecil Siburan akan dinaik sebagai daerah penuh manakala Balai Ringin menjadi daerah kecil.

Katanya keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini dan Siburan akan menerima fasiliti yang diperlukan sebagai sebuah daerah penuh manakala kemudahan sama akan diberi kepada daerah kecil Balai Ringin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan