AM

KPKT sasar peningkatan 40 peratus penyertaan penduduk bagi program KOSIS

27/11/2021 06:58 PM

SHAH ALAM, 27 Nov -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan peningkatan sebanyak 40 peratus dalam penyertaan penduduk pada tahun depan bagi program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS), antara inisiatif kitar semula kementerian itu.

Timbalan Menteri KPKT Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata setakat ini, penyertaan dalam program di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu, yang bermula pada 2019, telah melebihi sasaran awal iaitu 15 peratus.

“Sehingga Oktober lepas, jumlah keseluruhan penyertaan program KOSIS adalah sebanyak 25 peratus berbanding sasaran awal sebanyak 15 peratus.

“Pelaksanaan inisiatif yang melibatkan 17 Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan jumlah keseluruhan penglibatan sebanyak 13,586 rumah telah memudahkan dan membantu penduduk bagi menjalankan rawatan sisa makanan serta menghantar barangan kitar semula,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Mendaya Komuniti di bawah Dasar Kebersihan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata program KOSIS yang dibangunkan dalam kawasan PPR juga bertujuan mendidik komuniti  mengasingkan sisa pepejal, membantu meningkatkan ekonomi keluarga B40 dan membudayakan amalan menghargai sisa sebagai sumber.

Katanya program itu telah memudah dan membantu penduduk menjalankan rawatan sisa makanan serta menghantar barangan kitar semula melalui dua kaedah iaitu penebusan mata ganjaran dan ‘trash to cash’ iaitu penukaran barangan kitar semula kepada ganjaran tunai.

Ismail turut menyeru projek perumahan di peringkat kerajaan negeri agar bersama-sama melibatkan diri dalam program KOSIS untuk membudayakan amalan kitar semula selain menjana pendapatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan