AM

MOSTI kaji kurangkan kos penghasilan produk tani negara

27/11/2021 07:42 PM

KUALA TERENGGANU, 27 Nov -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang menjalankan beberapa kajian untuk mengurangkan kos berkaitan penghasilan produk pertanian di negara ini.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata kenaikan harga hasil tani termasuk sayur-sayuran sejak kebelakangan ini bukan sahaja disebabkan jumlah pengeluarannya yang berkurangan, tetapi turut berkait rapat dengan masalah bekalan baja dan racun serangga yang diperlukan.

Beliau berkata antara kajian yang sedang dijalankan MOSTI ialah penggunaan racun serangga dan baja pertanian yang menggunakan teknologi nano untuk meningkatkan penghasilan produk tani dan pada masa sama mengurangkan kos dengan lebih efektif.

"Semalam kita baru berbincang tentang penggunaan baja teknologi nano ini, walaupun harganya agak tinggi tapi kadar penggunaannya sangat rendah...semburan tidak perlu dibuat banyak kali kerana ia (nutrien) akan diserap perlahan-lahan.

"Selain itu, kita lihat juga penggunaan teknologi melalui Agensi Angkasa Malaysia untuk merancang kerja-kerja pembajaan dan penyemburan racun dengan cara lebih efektif. Itu antara perkara yang sedang diteliti bagaimana kita boleh membantu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk mengurangkan kos," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Salim Ab Ghani.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata antara fokus MOSTI ialah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan kementerian yang lain untuk mengukuhkan sekuriti makanan negara.

"Kejayaan terbaharu MOSTI ialah penghasilan varian benih padi IS21 hasil penyelidikan Agensi Nuklear Malaysia yang mampu meningkatkan hasil tuaian sebanyak sembilan tan untuk satu hektar sawah berbanding hanya tiga tan sebelum ini.

"Banyak lagi produk pertanian yang sedang di bawah kajian pelbagai agensi di bawah MOSTI antaranya cendawan dan kenaf...dengan teknologi nuklear, kita boleh hasilkan kenaf dengan saiz lebih besar yang pastinya mempunyai lebih banyak serat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan