EKONOMI

PNB terus dapatkan penguntukan aset tepat, pulangan mampan dengan kelayakan ESG

25/11/2021 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang mempunyai portfolio pelaburan pelbagai menumpukan usaha untuk terus mendapatkan penguntukan aset yang tepat bagi memberikan pulangan mampan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn berkata walaupun perlu melabur di luar negara, PNB pada masa sama meninjau aset domestik yang berkembang, dan syarikat yang memiliki kelayakan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh untuk menggerakkan modal.

“Terbitan sekuriti hutang persendirian (PDS), terbitan sukuk...kami secara amnya telah melaksanakannya untuk terbitan utama dan ia merupakan kelas aset baharu bagi kami, yang dibangunkan sejak beberapa tahun lepas dan berkembang dengan baik.

“Enjin pelaburan dalam PNB adalah kukuh dan amat meliputi seluruh kelas aset,” katanya semasa majlis bertukar-tukar pandangan  ‘MIDF Conversations’ secara dalam talian. Ahli panel lain ialah Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani.

Beliau berkata dari segi ESG, PNB sedang dalam proses memuktamadkan kerangka ESG sendiri, dari segi sebagai pengurus aset perniagaan manakala yang kedua sebagai pelabur ESG, yang ia jangka dapat dikongsikan dengan pihak awam pada awal 2022.

 Ahmad Zulqarnain Onn berkata mengenai pelaburan luar negara, sebahagian besar ekuiti antarabangsanya dilaburkan di Eropah, manakala bakinya di Jepun dan China.

“Kami mempunyai indeks penanda aras tertentu yang kami ikuti. Lazimnya, China bukanlah komponen terbesar walaupun ia menjadi ekonomi yang besar sedikit berbanding Amerika Syarikat (AS) pada hari ini.

“Dari sudut wajaran, China masih agak kecil. China menjadi pasaran yang agak sukar bagi semua pihak berikutan apa yang berlaku dalam syarikat teknologi China dan pergerakan saham di sana.

“Namun, saya berpandangan jika anda mengunjurkan 10 tahun dari sekarang, ia akan berada dalam kedudukan baik. Ia merupakan ekonomi yang anda tidak boleh ketepikan,” katanya ketika ditanya mengenai langkah melabur dalam pasaran China dan AS.

Mengenai perkembangan digital, beliau berkata tatkala dunia kini berubah dan memberi kesan kepada interaksi dengan penyedia perkhidmatan kewangan, akan ada lebih banyak lagi usaha bagi digital, dengan PNB melabur untuk menaik taraf aplikasinya, termasuk alat menentukan matlamat seseorang bagi simpanan dan toleransi risiko.

“Akan terdapat cara sistematik untuk menentukan ini, menerusi siri soalan, dan apabila ia diselesaikan, anda boleh membina portfolio yang sesuai dengan anda.

“Kami mahu mempunyai perbincangan yang lebih berkesan dengan setiap pemegang unit kami dari segi matlamat kewangan mereka dan bagaimana mereka seharusnya menyimpan selain jenis penguntukan portfolio yang perlu diteliti,” katanya.

Sementara itu, mengenai ikon terbaru PNB, Merdeka 118, yang menjadi menara kedua tertinggi di dunia, Ahmad Zulqarnain berkata PNB akan mengadakan majlis kecil minggu depan bagi memperingati satu peristiwa penting.

“Menara itu akan siap tahun depan. PNB akan berpindah pada penghujung tahun depan. Jika semuanya berjalan lancar, kami cukup yakin bahawa kami akan membuka pejabat dengan lebih 70 peratus penghunian.

“Pusat beli-belah pula akan dibuka setahun kemudian...projek ini memang mencabar untuk pasukan terutamanya kerana COVID-19, bukan kerana daya tarikannya. Terdapat banyak minat daripada peruncit untuk berada di situ namun pandemik telah menghalang mereka daripada menandatangani pajakan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan