Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tindakan Tegas Terhadap Syarikat Konsesi Gagal Laksana Tugas - Nga

14/07/2025 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan penalti dan menamatkan perkhidmatan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, kata Menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata semua pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa memantau tahap kebersihan di kawasan masing-masing dan memastikan syarikat konsesi menjalankan kutipan sisa pepejal dengan cekap serta mengikut jadual ditetapkan.

“Perkhidmatan pengurusan sisa pepejal amat penting, bukan sahaja di kawasan pelancongan tetapi juga kawasan perumahan kerana ia melibatkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Bagi syarikat konsesi yang gagal mencapai mutu perkhidmatan yang memuaskan, seperti tidak menjalankan kutipan sampah mengikut jadual dan skop kerja, KPKT tidak akan teragak-agak untuk mengenakan penalti serta menamatkan perkhidmatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata penduduk tujuh negeri yang tertakluk kepada Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) boleh menyalurkan aduan mengenai kutipan sampah, pembersihan jalan, longkang, tempat awam dan pemotongan rumput kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-2107472.

“Saya telah mengarahkan SWCorp untuk mengambil tindakan segera bagi kerja-kerja pembersihan, termasuk di kawasan cerun bukit yang berada di luar skop jadual pembersihan secara tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

Nga juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas keprihatinan Seri Paduka berhubung keadaan longkang tersumbat serta kewujudan sampah sarap di sekitar Jalan Gallagher, di sini Sabtu lepas.

Beliau berkata tinjauan mengejut turut diadakan ke kawasan itu hari ini bagi memastikan kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan