AM

Johor cadang bangun kilang SMART WTE tangani isu sisa pepejal

24/11/2021 03:49 PM

ISKANDAR PUTERI, 24 Nov -- Johor bercadang membangunkan sebuah kilang Pemulihan dan Rawatan Lanjutan Modular Sisa Pepejal (SMART) yang akan menukar sisa pepejal kepada tenaga (WTE) dalam usahanya menangani isu sisa pepejal di negeri ini pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ayub Jamil berkata kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju agar projek ini diuruskan oleh Permodalan Darul Ta'zim (PDT) dengan kerjasama syarikat swasta.

Beliau berkata projek itu yang akan dibangunkan di Seelong, Johor Bahru dan menelan kos RM600 juta  bakal menggunakan model perkongsian awam swasta.

"Kerajaan negeri sudah bersetuju pengurusan sampah ini untuk dijadikan tenaga dan (seterusnya) boleh menjadi sumber pendapatan baharu.

"Anak syarikat kita PDT, dijangka mempunyai kepentingan dalam pelaburan ini, kita merujuk kepada model pertama dalam negara kita iaitu Kilang Smart WTE di Tanah Merah (Negeri Sembilan), yang diuruskan Cypark Resources Bhd," katanya pada hari kelima Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Ayub berkata Cypark Resources, merupakan antara pembekal utama tenaga hijau dalam negara dan turut tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Menurutnya, kilang tersebut boleh menghasilkan 20 hingga 25 megawatt tenaga sejam, yang mana memerlukan 1,000 tan sampah serta mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 480 hingga 600 megawatt sehari.

Beliau berkata tapak pelupusan sampah di Seelong, yang meliputi kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai dan Pasir Gudang, misalnya boleh mengumpul kira-kira 1,800 tan sampah sehari.

Ayub berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ee Chin Li (PH-Tangkak) dan Tan Hong Pin (PH-Skudai) mengenai usaha kerajaan negeri dalam mengurangkan sisa pepejal dan langkah yang diambil terhadap tapak pelupusan sampah yang telah ditutup.

Menurutnya, kerajaan negeri turut bercadang membangunkan ladang solar atau tempat rekreasi awam di atas tapak pelupusan sampah yang telah ditutup.

Johor mempunyai sembilan tapak pelupusan yang masih beroperasi manakala tiga lagi telahpun ditutup iaitu di Simpang Renggam, Bakri dan Tangkak.

"Kerajaan pusat telah bersetuju membayar satu tan sampah bersamaan RM1, yang mana kita akan gunakan sebagai modal untuk membangunkan tapak pelupusan ini," katanya.

Selain itu, katanya, kepakaran Cypark yang mempunyai pengalaman dalam membangunkan ladang solar, diyakini dapat membantu dalam menjayakan usaha tersebut.

Ayub berkata Johor juga bakal melancarkan "Smart Waste Collection" dengan menjadikan Pengerang sebagai bandar pertama pintar yang menggunakan teknologi dari Finland pada awal bulan depan.

"Teknologi ini yang akan menguruskan sampah komersial, industri dan institusi, bakal menjana sumber baharu pendapatan buat pihak berkuasa tempatan pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan