DUNIA

Penderitaan di Afghanistan akibat perbuatan manusia: ICRC

23/11/2021 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov -- Sekatan ekonomi bertujuan menghukum mereka yang berkuasa di Kabul sebaliknya menyebabkan jutaan penduduk di seluruh Afghanistan tidak mendapat bekalan asas ketika musim sejuk menghampiri, kata pengarah operasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Dominik Stillhart.

Stillhart yang meluahkan kekecewaannya menyifatkan penderitaan yang ditanggung rakyat itu berpunca daripada manusia dan sekatan ke atas perkhidmatan perbankan menyebabkan ekonomi negara merudum serta mengakibatkan kelewatan bantuan dua hala.

"Saya amat marah.

“Pekerja perbandaran, guru dan kakitangan kesihatan belum dibayar gaji dalam tempoh lima bulan. Mereka berjalan kaki sehingga dua jam untuk bekerja dan bukannya menaiki pengangkutan awam.

“Mereka tidak mempunyai wang untuk membeli makanan; anak-anak mereka kelaparan, kurus kering hingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Lebih 22 juta rakyat Afghanistan bakal menghadapi krisis atau kecemasan kelaparan yang teruk antara November 2021 dan Mac 2022, menurut laporan terbaharu Integrated Food Security Phase Classification (IPC)

"Keadaan yang mendesak dapat dilihat apabila orang ramai beratur di depan bank pada 5 pagi dengan harapan mereka dapat mengeluarkan sedikit duit," katanya.

Stillhart berkata di unit rawatan rapi pediatrik di Hospital Wilayah Mirwais di Kandahar, bilangan kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan, radang paru-paru dan dehidrasi meningkat lebih dua kali ganda dari pertengahan Ogos hingga September.

Lebih menyedihkan, global acute malnutrition (iaitu ukuran status nutrisi populasi) meningkat 31 peratus di sekitar Kandahar berbanding tempoh sama pada 2020.

“Di wilayah yang berlainan tahap kekurangan makanan seim­bang dalam kalangan kanak-kanak boleh sehingga tiga kali ganda tahap kecemasan. Ini adalah krisis makanan yang serius sebelum musim sejuk melanda dan keadaan akan bertambah teruk,” katanya.

Beliau berkata sejak Isnin ini, ICRC mula memberi bantuan kepada 18 hospital serantau dan wilayah serta 5,100 kakitangan yang bekerja di hospital-hospital tersebut untuk membantu mengelakkan keseluruhan sistem kesihatan awam di Afghanistan lumpuh.

Bantuan termasuk pembiayaan kos pengendalian dan bekalan perubatan selain memastikan kesinambungan hampir setengah juta konsultasi perubatan setiap bulan itu, dijadualkan berlangsung selama enam bulan.

“Tetapi ia tidak mencukupi. Memandangkan musim sejuk dengan suhu di bawah paras beku bermula, penderitaan akan lebih meruncing kerana orang ramai kekurangan duit,” katanya.

Justeru, Stillhart berkata masyarakat antarabangsa mesti melibatkan diri dengan Afghanistan kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mencegah negara ini terus lumpuh terutamanya perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Pertimbangan politik tidak sepatutnya dicampur aduk dengan tindakan kemanusiaan. Solusi politik mesti dicari untuk mengelakkan kesan kemanusiaan yang lebih teruk berlaku,” katanya.

ICRC menyeru pertubuhan kemanusiaan yang tidak berat sebelah supaya terlibat semata-mata hanya atas faktor kemanusiaan dan memastikan ia diperuntukkan dalam undang-undang domestik.

Adalah menjadi kepentingan semua orang supaya aktiviti kemanusiaan dapat berjalan lancar di Afghanistan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan