BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
ALOR SETAR, 22 Nov -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pampasan RM100 juta setahun adalah nilai bayaran munasabah kepada kerajaan negeri itu yang mengekalkan kawasan hutan simpan sebagai kawasan tadahan.
Beliau berkata nilai berkenaan mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan, kos penyelenggaraan sumber dan aliran bagi memastikan hutan dan kelestarian alam semula jadi.
“Kerajaan negeri bagaimanapun berharap pemberian pampasan itu adalah dalam bentuk pampasan fiskal bukan berbentuk kos projek penanaman pokok atau sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Sanusi mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bera, Pahang semalam mengenai pemberian pampasan kepada negeri yang mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air dan melindungi daripada sebarang kegiatan pembalakan haram.
Menurut Muhammad Sanusi, Kedah mengekalkan kawasan hutan simpan bukan semata-mata untuk manfaat kegunaan domestik tetapi juga sebagai suatu pengorbanan untuk seluruh negara.
"Fungsi kawasan tadahan hutan simpan Kedah juga untuk pengairan kawasan penanaman padi bukan sahaja di Kedah tetapi negeri-negeri berjiran iaitu Pulau Pinang dan Perlis.
"Kedah turut membekalkan 43 peratus daripada keperluan beras nasional yang begitu membantu Kerajaan Persekutuan menjimatkan kos import bahan makanan asasi itu dari luar negara," katanya.
Untuk rekod, luas keseluruhan kawasan berhutan Kedah ialah 344,865.09 hektar yang meliputi 36.4 peratus daripada keseluruhan negeri.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata kawasan tadahan Hutan Simpan Hulu Muda seluas 163,000 hektar turut membekalkan air kepada Pulau Pinang dengan mengabstrak 1,100 juta liter air sehari dari Sungai Muda berbanding rakyat negeri ini sendiri menggunakan 800 juta liter air sehari dari sungai itu.
"Sebanyak 80 peratus air kegunaan air Pulau Pinang setiap hari adalah diabstrak daripada Sungai Muda. Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja tidak pernah membayar malah surat-surat dihantar untuk ajak runding perkara itu juga tidak pernah dijawab.
"Apabila wujud kos untuk penyelenggaraan dan pengekalan sumber air termasuk kawasan tadahan selain kos melepas akibat kehilangan hasil hutan, pembayaran pampasan ini telah ditunggu oleh kerajaan dan rakyat negeri Kedah sejak sekian lama," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial