JAKARTA, 21 Nov -- Legenda badminton Indonesia, Verawaty Fadjrin, meninggal dunia pagi Ahad pada usia 64 tahun selepas beberapa tahun bertarung dengan penyakit kanser paru-paru.
Pengerusi Persatuan Badminton Indonesia Agung Firman Sampurna melahirkan rasa sedih atas pemergian bekas pemain badminton yang hebat itu.
“Beliau merupakan pemain yang banyak menyumbang kepada pencapaian badminton Indonesia di pentas dunia,” katanya seperti dipetik Antara.
Presiden Joko Widodo di akaun Twitternya turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Verawaty.
Verawaty, meninggalkan suami Fadjriansyah Bidoein, seorang anak lelaki Fidyan Dini dan dua cucu.
Beliau merangkul gelaran antarabangsa bermula dari akhir 1970-an hingga hujung 1980-an, termasuk Kejohanan Dunia IBF 1980 menewaskan rakan senegara Ivana Lie dan Terbuka Indonesia pada 1982.
Selain itu, beliau juga pernah menjuarai acara beregu wanita di temasya Sukan Asia (1978), All England (1979) dan Sukan Asia Tenggara (1981).
Penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa ialah ketika membantu Indonesia menundukkan Korea Selatan, 3-2 pada gelanggang akhir Piala Sudirman 1989.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial