AM

Berita-berita ringkas Dewan Rakyat: 15 Nov

15/11/2021 09:06 PM

KERAJAAN TIADA PERANCANGAN PERKENALKAN TEKSI MOTOSIKAL

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing teksi motosikal buat masa ini setelah mengambil kira pelbagai aspek terutamanya isu keselamatan dan kebajikan penumpang.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong berkata kementerian mengambil kira risiko nahas jalan raya termasuk kematian atau kecederaan yang amat tinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini.

“Penunggang motosikal merupakan golongan paling tinggi menjadi mangsa nahas jalan raya mewakili 64 peratus daripada jumlah kematian iaitu melebihi 3,900 kematian daripada 6,167 jumlah kematian yang direkodkan pada 2019,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Larry Sng Wei Shien (Bebas-Julau) mengenai rancangan komprehensif kementerian untuk menjadikan servis perkhidmatan e-hailing teksi motosikal sebagai satu daripada pelengkap perkhidmatan awam baharu di negara ini.

-- BERNAMA

 

SOP KEMPEN SEPANJANG PILIHAN RAYA DITETAPKAN KKM DAN MKN, BUKAN SPR

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Prosedur operasi standard (SOP) kempen pilihan raya pada tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata SPR hanya mengemukakan input antaranya berkaitan pemakaian simbol parti dan perkara-perkara berkaitan semasa hari pengundian.

“Sebenarnya saya berbincang berhubung dengan apa berlaku di Melaka (Pilihan Raya Negeri) dan apa bakal berlaku di Sarawak berkaitan SOP ini.

“SOP ini perkara dibuat KKM dan MKN, bukan SPR… SPR ialah untuk menggalakkan demokrasi itu sendiri bukan berhubung keselamatan manusia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

MOTAC SEDIA DOKUMEN UNTUK PKKN, HUTAN SIMPAN ROYAL BELUM DISENARAI TAPAK WARISAN DUNIA 

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menyediakan dokumen (dossier) untuk mencalonkan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh, Selangor dan Hutan Simpan Royal Belum, Perak dalam penyenaraian tapak warisan dunia.

Menurut kementerian itu dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, tapak Permatang Kuarza, Gombak Selangor (PKGS) dan Taman Negara Semenanjung pula kini dalam proses penyelidikan lanjut untuk mengenal pasti kriteria yang bersesuaian dan kepentingannya sebelum ia boleh diangkat menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Sementara itu, perhatian sentiasa diberikan kepada usaha untuk memelihara tapak-tapak warisan dunia di Malaysia termasuk di Melaka dan George Town, Pulau Pinang serta Lembah Lenggong, Perak,” menurut kementerian itu. 

Kementerian itu menjawab pertanyaan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu status penyenaraian tapak warisan dunia dan usaha memelihara dan memulihara warisan sedia ada demi mengelakkan penarikan semula status oleh UNESCO.

-- BERNAMA 

 

29.6 PERATUS PENCARUM KWSP PUNYAI SIMPANAN KURANG RM50,000

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Seramai 479,000 atau 29.6 peratus daripada 1.62 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 45 hingga 59 tahun mempunyai simpanan tidak melebihi RM50,000 setakat 30 Sept lepas. 

Kementerian Kewangan dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan jumlah tersebut menyaksikan perbezaan yang minimum berbanding 484,000 pencarum yang mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 pada akhir 2019.

“Setakat 30 Sept 2021, bilangan ahli aktif KWSP yang berumur antara 45 hingga 59 tahun mencatatkan penambahan seramai 55,000 ahli kepada 1.62 juta ahli iaitu peningkatan sebanyak 3.5 peratus sejak 31 Dis 2019 yang merekodkan 1.56 juta ahli aktif KWSP,” menurut kementerian itu. 

Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) mengenai bilangan dan peratusan pencarum KWSP berusia 45 tahun ke atas yang mempunyai jumlah tabungan kurang daripada RM50,000 pada 30 Sept 2021 berbanding 31 Dis 2019.

-- BERNAMA 

 

RM36.88 JUTA HASIL KUTIPAN CUKAI DARIPADA KELULUSAN CABUTAN KHAS NOMBOR RAMALAN 

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Sejumlah RM36.88 juta diperoleh hasil kutipan cukai daripada kelulusan untuk Cabutan Khas Nombor Ramalan hingga September tahun ini, menurut Kementerian Kewangan. 

Kementerian itu dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan kutipan cukai bagi 2020 ialah RM72.53 juta berbanding RM113.29 juta pada 2019. 

“Hasil yang diperoleh daripada cabutan khas ini seterusnya akan disalurkan kepada Akaun Amanah Sumber Khas Kementerian Kewangan,” menurut kementerian itu.

Kementerian berkenaan menjawab pertanyaan Loke Siew Fook (PH-Seremban) mengenai jumlah kutipan hasil cukai daripada kelulusan untuk Cabutan Khas Nombor Ramalan bagi tiga tahun tersebut dan ke manakah hasil cukai itu disalurkan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan