TAMPIN, 9 Nov -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan satu manual khusus kepada pegawai pembimbing dalam melaksanakan program khidmat rohani bagi membantu pesakit COVID-19 yang terkesan dari segi emosi dan mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata program yang dikenali sebagai Klinik Rohani tersebut mengandungi kaedah rawatan menggunakan pendekatan Imam Al-Ghazali melibatkan aspek emosi, pemikiran dan tingkah laku.
Katanya, program tersebut merupakan projek perintis yang dimulakan hari ini di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Hospital Tampin sebelum diperluaskan ke PKRC terpilih mengikut zon seperti Kedah mewakili zon utara, Kelantan mewakili zon timur dan Sabah mewakili zon Malaysia timur.
"Klinik Rohani adalah satu inisiatif untuk menyediakan panduan pengurusan kerohanian kepada pesakit COVID-19 yang terkesan dari sudut emosi dan perasaan terutama ketika ditempatkan di hospital.
"Ini adalah projek perintis yang dilaksanakan oleh JAKIM dalam membantu pesakit membuat persiapan dari aspek ibadah dan memastikan mereka mendapat layanan terbaik berpandukan keagamaan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Klinik Rohani di sini, hari ini.
Jelasnya, Jakim telah menyediakan lebih 2,000 kader atau Pegawai Pembantu Hal Ehwal Agama Islam yang ditempatkan di hospital dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara untuk memberikan bimbingan kerohanian kepada pesakit COVID-19 dan kakitangan lain.
"Meskipun di hospital besar sudah terdapat pegawai agama tetapi Jakim membantu menempatkan kader berkenaan bagi menangani pelbagai isu seperti tekanan perasaan dan mental pesakit," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Jakim turut menyediakan khidmat MyCare COVID-19 menerusi talian 03-8870 7000 bagi membantu pesakit Islam dan bukan Islam yang terkesan dalam aspek kerohanian ketika sedang menjalani kuarantin di rumah.
Katanya lebih 20 pegawai ditempatkan di Bilik Gerakan bagi mengendalikan talian berkenaan dan sejak 1 Jun sehingga1 Nov lepas, lebih 3,600 aduan diterima termasuk daripada kalangan orang bukan Islam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial