KUALA LUMPUR, 31 Okt -- Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi ekosistem inovasi negara setelah ia diberi amanah untuk mewujudkan Hab Inovasi Antarabangsa Revolusi Industri Keempat.
TPM, sebagai pemudah cara inovasi dan pemboleh teknologi Malaysia, diperuntukkan dana RM30 juta menerusi Bajet 2022 untuk menubuhkan hab itu yang akan berperanan sebagai pusat kecemerlangan dan menyokong ekosistem inovasi negara dengan membangunkan kluster teknologi baharu seperti dron, robotik dan kenderaan tanpa pemandu.
Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dzuleira Abu Bakar berkata menerusi hab tersebut, pihaknya menyasar untuk membantu 10,000 usahawan dengan menyediakan akses kepada infrastruktur dan kemudahan di samping membimbing dan menyediakan latihan bagi 5,000 usahawan mengenai akses pasaran.
“Kami juga berharap dapat mengambil 750 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), PKS yang ingin mengkomersialkan idea perniagaan atau syarikat pemula niaga untuk menyertai kemudahan kami yang akan dilengkapi teknologi 5G.
“Pembangunan dron merupakan satu lagi bidang tumpuan, dengan kami menyasar untuk menyokong 50 syarikat melalui bimbingan dan kemudahan makmal alami bagi dron,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata TPM turut menyasar untuk mengambil 7,500 peserta bagi Program Pertukaran Pengetahuan dengan universiti dan institut penyelidikan antarabangsa.
Dzuleira berkata TPM akan menjadi hos bagi Taman Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia, dan akan memperkenalkan pelbagai kemudahan seperti Hab Pembangunan 5G, Kemudahan Inkubasi Perladangan Bandar Lestari, Hab Inkubasi Bioteknologi serta Hab Kenderaan Tanpa Pemandu dan Robotik.
Beliau berkata pada September lepas, TPM telah mewujudkan ‘Area 57’, sebuah pusat kecemerlangan untuk Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) dan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS).
“Perkhidmatan dron boleh diperluas dan ditingkatkan skalanya untuk pelbagai sektor seperti e-dagang, logistik atau mobilisasi sumber yang berkaitan ke luar bandar, kawasan terpencil atau yang terjejas akibat bencana alam; pengurusan infrastruktur dan pemantauan keselamatan bagi penyelenggaraan bangunan pintar, bandar pintar atau maritim; pertanian bandar dan sebagainya.
“Penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi serta inovasi yang berkaitan dengan UAV atau dron akan memacu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau berkata industri teknologi dron dalam pasaran dron global diunjurkan bernilai US$41.3 bilion pada 2026.
Dzuleira turut memuji langkah kerajaan memperuntukkan geran padanan bernilai RM100 juta untuk PKS bumiputera meneroka industri aeroangkasa, selain RM5 juta untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron menerusi Bajet 2022.
Selain itu, peruntukan kepada Cradle Fund dan Industry4WRD, serta pengenalan MyStartup, menunjukkan komitmen kerajaan bagi membangunkan ekonomi pemula niaga yang lebih berdaya tahan, katanya.
Beliau berkata dalam aspek ini, Bajet 2022 menyokong pewujudan pemecut pengkomersialan teknologi (TCA) melalui penyatuan strategik TPM dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), yang akan mula beroperasi tahun depan.
“Tumpuan utamanya adalah mempercepat pengkomersialan teknologi dengan memupuk perkongsian yang kukuh dan kerjasama strategik antara industri dan akademia, yang seterusnya akan merapatkan jurang bagi merealisasikan penyelidikan yang berkesan melalui ciptaan berpaten dan teknologi sedia untuk digunakan.
“Menerusi langkah membina kemajuan untuk mencapai matlamat jangka panjang yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai, daripada penyelidik, saintis, syarikat pemula niaga dalam inkubasi sehingga syarikat teknologi pertumbuhan tinggi, TCA akan membolehkan Malaysia mengukuhkan dan memanfaatkan nilai dalam ekosistem teknologi dan inovasi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial