EKONOMI

Maxis catat keuntungan bersih suku ke-3 rendah sedikit kepada RM325 juta

29/10/2021 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt  -- Maxis Bhd mencatatkan keuntungan bersih rendah sedikit kepada RM325 juta dalam suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2021, daripada RM364 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil, bagaimanapun naik kepada RM2.26 bilion daripada RM2.21 bilion disumbang oleh hasil perkhidmatan yang tinggi sebanyak RM2.03 bilion susulan perniagaan pascabayar dan gentian yang lebih baik, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil perkhidmatan pascabayar bagi suku ketiga 2021 meningkat kepada RM1.03 bilion, tetapi purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) turun 3.6 peratus tahun ke tahun kepada RM81 daripada RM84 sebulan. 

Maxis berkata penurunan ARPU itu disebabkan terutamanya kesan daripada peningkatan pelanggan yang mengguna pakai Hotlink Pascabayar nilai pertambahan. 

Hasil perkhidmatan prabayar turun 4.5 peratus kepada RM685 juta pada suku ketiga 2021 dan ARPU rendah sedikit pada RM39 sebulan daripada RM40 pada suku ketiga 2020.

Bagi sambungan gentian, kumpulan menambah 88,000 langganan kepada 512,000.

Maxis berkata kumpulan itu kekal berada dalam kedudukan kewangan yang baik dalam mengharungi krisis COVID-19.  

"Lembaran imbangan kami kekal kukuh dan pembiayaan serta kecairan kami juga baik,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan