Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA, 27 Okt -- Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mencadangkan tiga bidang untuk memperkukuh perkongsian ASEAN-Australia, dengan satu daripadanya adalah “menyokong Pemusatan ASEAN dalam kerangka serantau.”
Semasa berucap dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Australia julung kali hari ini, Lee berkata ASEAN dan Australia berkongsi pandangan strategik serantau yang sama.
“Singapura menyambut baik formula pembangunan serantau baharu yang menyokong Pemusatan ASEAN, memperdalam integrasi ekonomi, dan mempromosi rantau Asia-Pasifik yang stabil dan selamat serta arahan berdasarkan peraturan, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.
“Kami mengalu-alukan jaminan Australia bahawa perkongsian AUKUS dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom sehaluan dengan kriteria ini,” katanya.
AUKUS merupakan pakatan keselamatan tiga hala antara ketiga-tiga negara itu, diumumkan pada 15 Sept 2021, untuk rantau Indo-Pasifik.
Dua lagi bidang yang dicadang perdana menteri untuk mengukuhkan lagi perkongsian itu termasuk pemulihan pasca wabak, dan bandar pintar.
Lee mengetuai delegasi Singapura ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dengan Brunei sebagai pengerusi ASEAN mulai 26-28 Okt, yang berlangsung melalui persidangan video.
Sementara itu, ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN +3) ke-24 dengan China, Jepun, dan Korea Selatan, beliau berkata Singapura mengalu-alukan penerimaan Kenyataan Pemimpin ASEAN +3 mengenai Kerjasama Kesihatan Mental.
"Ini bagi menangani aspek penting untuk kesejahteraan rakyat kita, tetapi sering kali diabaikan," katanya.
Perdana menteri mengingatkan bahawa sejak penubuhan ASEAN +3 pada 1997, platform ini telah menerajui usaha kerjasama serantau dalam menangani krisis.
Lee berkata kerjasama padu sejak sekian lama itu diuji sekali lagi apabila COVID-19 melanda.
“Negara-negara ASEAN +3 menyahut seruan untuk bertindak lebih awal, bertemu di peringkat Menteri dan Pemimpin Kesihatan pada April tahun lepas. Kami teguh bersama sejak dua tahun lepas, menyokong satu sama lain untuk memerangi pandemik,” katanya.
Lee turut merakamkan penghargaan kepada ASEAN +3 atas sumbangan yang diberikan untuk Tabung COVID-19 ASEAN dan inisiatif masing-masing bagi mengukuhkan kapasiti kesihatan awam ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial