Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ahmad Zahid Teruskan Lawatan Kerja Di Wellington, Perkukuh Hubungan Malaysia-NZ

16/07/2025 09:53 AM

Daripada Ahmad Erwan Othman

WELLINGTON, 16 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meneruskan hari ketiga lawatan kerja rasmi ke New Zealand dengan siri pertemuan bersama beberapa pemimpin kanan negara itu di ibu negara di sini, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-New Zealand.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, memulakan jadual padatnya seawal 8 pagi waktu tempatan (4 pagi waktu Malaysia) dengan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pembangunan Maori Tama Potaka bertempat di Bilik Mesyuarat Menteri, Parlimen New Zealand.

Pertemuan tersebut dijangka memberi ruang kepada kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai dasar pembangunan komuniti peribumi sekali gus membuka potensi kerjasama antara Malaysia dan New Zealand dalam memperkasa komuniti Orang Asli negara.

Beliau kemudiannya dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya David Seymour. Pertemuan itu turut disusuli dengan majlis menandatangani surat hasrat (LOI) sebagai manifestasi hasrat memperluas jalinan kerjasama masa depan, di pejabat Timbalan Perdana Menteri New Zealand itu di Bangunan Beehive.

Menurut aturcara yang dikeluarkan, dalam usaha mempererat hubungan dengan komuniti Islam tempatan, Ahmad Zahid turut dijadual melawat Masjid Kilbirnie di sini dan mengadakan sesi libat urus bersama Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ).

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual menghadiri jamuan makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Menteri Luar Negeri New Zealand Winston Peters di Bangunan Beehive sebelum menyampaikan ucaptama pada Forum Halal dan majlis minum petang bersama Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan Andrew Hoggard. 

Forum yang akan berlangsung di Perpustakaan Negara New Zealand itu dianjurkan bersama oleh Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) dan Kementerian Industri Utama New Zealand (MPI), bertujuan memperkukuh kerjasama dalam sektor halal, khususnya dari aspek eksport makanan dan pensijilan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid juga bakal menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan kerajaan New Zealand dalam bidang pendidikan tinggi, sebagai usaha membuka lebih banyak peluang kepada pelajar tajaan kerajaan Malaysia melanjutkan pengajian ke negara itu.

Esok (Khamis), beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan Todd McClay. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), turut dijadual melakukan lawatan ke Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan negara itu.

Pada sebelah petangnya, pemimpin itu akan menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama komuniti Malaysia di Wellington, yang dijangka menghimpunkan lebih 250 rakyat Malaysia menetap di New Zealand. 

Timbalan Perdana Menteri dijangka menamatkan lawatan kerja beliau dan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada Jumaat (18 Julai).

Terdahulu, Ahmad Zahid memulakan siri lawatan kerjanya di Auckland dengan bertemu pemimpin industri dan perniagaan New Zealand, termasuk Majlis Perniagaan ASEAN New Zealand (ANZBC).

Beliau kemudiannya meneruskan hari kedua siri lawatan kerjanya ke Rotorua dengan menghadiri Sesi Meja Bulat bersama perniagaan komuniti Maori sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang sosial dan pembangunan komuniti pribumi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan