AM

Tiada kes COVID-19 di Penjara Reman P.Pinang sejak September

27/10/2021 07:59 PM

GEORGE TOWN, 27 Okt -- Tiada kes positif COVID-19 dalam kalangan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang di sini sejak September lepas hasil pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kata Timbalan Pengarahnya Mohd Suhairi Awang.

Beliau berkata SOP yang ketat terutama melibatkan keluar dan masuk banduan dari penjara itu untuk ke mahkamah membantu pihaknya mencatatkan sifar kes positif wabak tersebut. 

"Selain itu, kami juga mengambil langkah mengasingkan banduan yang mempunyai simptom ke bangunan khas bagi mengelakkan sebarang jangkitan dan dengan langkah-langkah ini termasuk vaksinasi, maka tiada isu jika banduan hadir di mahkamah.

"Banduan yang baru masuk dan masih belum divaksin pula akan diasingkan bagi mengelakkan penularan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang dijangkiti COVID-19," katanya kepada pemberita  di pekarangan Penjara Reman Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menerima 2,000 paket kuih dan muruku daripada Pengerusi Malaysia Hindudharma Mamandram, N.K Thanabalan sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut pada 4 Nov ini.

Mohd Suhairi berkata ketika ini terdapat 2,238 banduan di penjara berkenaan yang kesemuanya telah menerima vaksin jenis Cansino sejak September lepas.

Katanya selain banduan, semua 331 pegawai dan anggota di penjara itu termasuk yang tidak beruniform juga telah lengkap divaksin.

Sementara itu, Thanabalan berkata paket kuih berkenaan akan diagihkan kepada semua banduan di Penjara Reman Pulau Pinang, selain sumbangan yang sama kepada Penjara Seberang Perai di Jawi.

"Sumbangan ini adalah aktiviti tahunan yang kami lakukan sejak 20 tahun lalu setiap kali tibanya Deepavali dengan harapan dapat menggembirakan semua banduan," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan