EKONOMI

Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih minggu lepas, catat aliran masuk bersih RM587.61 juta

25/10/2021 01:10 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 25 Okt -- Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berakhir pada 22 Okt, dengan aliran masuk bersih RM587.61 juta berbanding RM924.77 juta minggu sebelumnya, menyaksikan purata penyertaan sebanyak 26.3 peratus daripada 18.4 peratus sebelumnya, kata MIDF Research.

"Ketika pasaran dibuka semula pada hari urus niaga Isnin minggu lepas, institusi dan peruncit tempatan merupakan penjual bersih, masing-masing dengan jumlah RM215.79 juta dan RM22.20 juta, manakala pelabur asing pula adalah pembeli bersih dengan nilai RM237.99 juta," katanya dalam laporan dana mingguannya hari ini.

MIDF berkata tidak termasuk cuti umum iaitu pada hari Selasa, pelabur asing adalah pembeli bersih untuk setiap hari pada minggu berkenaan, dan aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Rabu manakala aliran masuk paling sedikit pada Khamis, masing-masing berjumlah RM237.99 juta dan RM16.78 juta.

"Bagi peruncit, mereka adalah penjual bersih untuk sebahagian besar minggu berkenaan kecuali pada Rabu dan Khamis.

"Penjualan bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada hari Isnin dan pembelian bersih terbesar adalah pada hari Khamis, masing-masing sebanyak RM22.20 juta dan RM95.39 juta," tambahnya.

Secara kumulatif untuk minggu urus niaga berkenaan, peruncit bersih membeli ekuiti bernilai RM74.83 juta di Bursa, katanya.

"Sementara itu, institusi tempatan mencatat penjualan bersih mingguan terkumpul sebanyak RM662.44 juta dengan jumlah terbesar sebanyak RM243.95 juta pada Rabu sementara jumlah paling kecil pada Jumaat iaitu RM90.53 juta," katanya.

MIDF berkata sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti Malaysia dengan nilai RM10.40 bilion.

“Manakala institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing RM8.22 bilion dan RM2.18 bilion.

"Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kedudukan jualan bersih pelabur asing dilihat terus menurun. Ia adalah sebanyak -RM3.75 bilion sejak awal tahun sehingga kini setakat akhir September 2021,” katanya.

Dalam kalangan pasaran Asia Tenggara, Malaysia (US$141.18 juta), Thailand (US$260.89 juta), Indonesia (US$229.69 juta) dan Filipina (US$20.40 juta) mencatat aliran masuk pelabur asing minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan