Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah
KUCHING, 23 Okt -- Penubuhan tiga agensi pembangunan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak (Recoda) bakal memacu ekonomi kawasan pedalaman, tanah tinggi dan bahagian utara negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Badan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Badan Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) itu bakal memberi fokus kepada kawasan tersebut memandangkan daerah-daerah ini memiliki potensinya sendiri.
Katanya, keunikan kawasan itu memerlukan pendekatan yang berbeza untuk membawa masuk pelabur ke sana.
Awang Tengah berkata, selain pelaburan, penekanan kepada pembangunan infrastruktur, jalan, bekalan tenaga elektrik dan telekomunikasi akan turut diutamakan di kawasan berkenaan.
“Misalnya di URDA, tempat itu terletaknya Empangan Hidroelektrik Bakun, Murum dan Baleh yang bukan sahaja dapat memberi kita bekalan elektrik yang cukup tetapi boleh dibangunkan sebagai kawasan ekopelancongan dan agrikultur secara komersial.
“Ulu Rajang adalah tempat yang mempunyai sumber dan keunikannya tersendiri. Kawasan ini juga terdapatnya kawasan yang diisytiharkan sebagai Taman Negara dan ini merupakan kekuatan yang boleh dikembangkan lebih-lebih lagi untuk ekopelancongan,” katanya semasa wawancara khas bersama Bernama di pejabatnya, baru-baru ini.
Awang Tengah berkata Sarawak mempunyai banyak kawasan berpotensi besar lain termasuk Zon Perindustrian Samalaju di Bintulu yang menempatkan banyak syarikat multinasional.
Beliau yang juga merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata jumlah pelaburan di Samalaju kini sudah mencecah RM28.43 billion.
“Setakat ini, sebanyak 6,654 peluang pekerjaan telah diwujudkan and 68 peratus adalah pekerja tempatan. Kesemua aktiviti pelaburan ini telah mencatatkan nilai eksport sejumlah RM9.4 billion pada 2020,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memperbesarkan lagi Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya di Kuching yang merupakan kawasan industri yang berasaskan teknologi tinggi.
Beliau berkata melalui aktiviti pelaburan di taman tersebut sebanyak 13,761 orang telah mendapat pekerjaan dengan 99 peratus merupakan rakyat tempatan yang turut berada di jawatan peringkat pengurusan.
“Jumlah keseluruhan pelaburan di Sama Jaya kini mencecah RM17.5 billion, dengan kadar sampingan tahunan sebanyak RM667 juta.
“Nilai eksport dari Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya berjumlah RM6.93 billion bagi 2020. Kita akan besarkan lagi, banyak syarikat multinasional berminat akan melabur di kawasan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial