KUALA LUMPUR, 22 Okt -- Ageson Bhd melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Solidvest Properties Sdn Bhd (Solidvest), telah mengadakan perjanjian kerjasama dengan China ShuangLing Holdings Ltd bagi pelaksanaan cadangan projek pembangunan kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM95.2 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Ageson berkata projek itu terdiri daripada 56 unit rumah berkembar dan empat unit banglo di sebidang tanah pegangan bebas di Lot 9348, Mukim Batu, Daerah Gombak, Selangor yang membabitkan perancangan, pembangunan, pembinaan dan penjualan cadangan pembangunan tersebut.
Ia berkata tanpa sebarang keadaan di luar jangka, pembangunan yang dicadangkan itu diharap dapat dimulakan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh persetujuan yang akan diperoleh oleh Solidvest.
"Sesuai dengan terma dan syarat perjanjian, projek ini akan dibiayai oleh dana atau pembiayaan oleh ShuangLing dan/atau ShuangLing menyediakan dana sehingga RM50 juta," katanya.
Ageson berkata kerjasama itu melambangkan peluang strategi dan menjanjikan bagi syarikat untuk menjamin pembeli terhadap cadangan pembangunan melalui rangkaian perniagaan ShuangLing yang luas.
"Berdasarkan perjanjian tersebut, ShuangLing telah setuju untuk mengenal pasti dan menjamin calon pembeli untuk ke semua unit dalam projek tersebut.
"Syarikat juga mengharapkan kerjasama itu akan membuka jalan untuk projek-projek pembangunan yang dilakukan secara kerjasama di masa depan di antara kedua-dua belah pihak," katanya.
Ia menambah bahawa kerjasama tersebut diharapkan dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan dan pendapatan sesaham syarikat di masa depan setelah bermulanya pembangunan dan penjualan projek itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial