SHAH ALAM, 6 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan beberapa langkah awal termasuk pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam dalam mengurangkan impak konflik Asia Barat terutamanya membabitkan isu bekalan tenaga serta kenaikan harga barangan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri bersetuju untuk memulakan dasar BDR pada 15 April, dari Selasa hingga Khamis setiap minggu bagi menjimatkan penggunaan bahan bakar serta kesesakan jalan raya di samping mengukuhkan produktiviti pegawai.
Beliau berkata dasar itu akan disemak secara bulanan mengikut keperluan, serta keberkesanan selain sektor swasta turut digalakkan untuk melaksanakan dasar sama berdasarkan kesesuaian industri dengan kerajaan negeri bersedia untuk membantu dari aspek adaptasi teknologi digital.
“Kerajaan negeri juga akan menghentikan urusan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan kecuali berkaitan urusan menggalakkan pelaburan dan pelancongan dari luar negara ke Selangor.
“Ini supaya ekonomi tempatan, industri sokongan serta peluang pekerjaan bagi rakyat Selangor dapat terus berlangsung. Di peringkat kerajaan negeri, setiap jabatan perlu mengkoordinasi usaha serta program dan bekerja dalam mod krisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirudin juga berkata Selangor akan menyemak semula Belanjawan Negeri 2026 dengan memberikan fokus kepada kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat terkesan, sokongan kepada industri, serta meneroka peluang seperti peralihan tenaga secara lebih pantas.
Beliau berkata untuk itu satu Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor akan ditubuhkan melibatkan pakar dari bidang sosioekonomi, industri, tenaga, barang makanan, perbankan, dan akademia agar langkah lain yang diambil bakal meliputi setiap aspek penting dan bertepatan.
Menurut beliau, antara yang dipersetujui menganggotai pasukan khas itu ialah bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai pengerusi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, serta Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad Datuk Mohamed Rafique Merican.
“Pasukan Khas ini akan mencadangkan langkah segera untuk mengurangkan kesan kepada rakyat serta merangka tindakan hingga tempoh setahun sekiranya perang ini berterusan.
“Kerajaan negeri akan mengumumkan langkah perlu diambil sebagai respons kepada isu bekalan dan kesannya kepada harga barang. Fasa pertama usaha mitigasi bagi rakyat Selangor akan diperkenalkan dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Amirudin turut menyeru sifat kebersamaan rakyat Selangor untuk bersedia mengharungi cabaran yang akan dihadapi susulan konflik Asia Barat, yang memberikan kesan khususnya kepada bekalan tenaga.
“Pada saat ini, Krisis Perang yang menutup Selat Hormuz telah memberikan kesan antaranya kepada bekalan bahan tenaga penting untuk pengangkutan, baja dan urea bagi penghasilan makanan, serta kimia dan helium yang merupakan bahan utama di hospital mahupun pembuatan semikonduktor,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial